ARAU, 26 FEB: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menyasarkan sehingga 100,000 kilogram (kg) lebihan makanan dapat diselamatkan melalui pelaksanaan kempen pengurangan pembaziran makanan di bazar Ramadan seluruh negara tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata sasaran itu berdasarkan peningkatan kesedaran masyarakat serta kejayaan kempen sama yang menyelamatkan lebih 70,000kg lebihan makanan tahun lepas berbanding jumlah lebih rendah pada tahun-tahun sebelumnya.
“Berdasarkan rekod kami, tahun lepas lebih 70,000kg lebihan makanan berjaya diselamatkan daripada berakhir di tapak pelupusan, menunjukkan kesedaran masyarakat dan peniaga semakin meningkat dan kami menjangkakan jumlah itu boleh mencecah antara 80,000kg hingga 100,000kg tahun ini,” katanya.
Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran sempena Ramadan 2026 di bazar Ramadan Arau, di sini, hari ini.
Kempen hargai makanan di bazar Ramadan Arau itu melibatkan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis, Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, E-Idaman Sdn Bhd.
Beliau berkata lebihan makanan yang tidak terjual atau tidak dihabiskan akan dikumpulkan dan diagihkan kepada golongan memerlukan melalui kerjasamadengan pelbagai rakan strategik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kami menggalakkan lebih banyak NGO dan pihak berkaitan untuk bekerjasama kerana makanan yang diselamatkan ini masih elok dimakan dan boleh dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Khalid berkata SWCorp turut mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan kebersihan di bazar Ramadan bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa terkawal selaras dengan arahan kerajaan.
Beliau berkata pihaknya mendapati peniaga dan pengunjung memberikan kerjasama baik terhadap inisiatif itu, sekali gus membantu meningkatkan tahap kebersihan serta mengurangkan pembaziran makanan sepanjang Ramadan.




