SHAH ALAM, 15 APRIL: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaksanakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) siri keenam terhadap sembilan Orang Kena Saman (OKS) di Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur bermula 9 pagi tadi.
OKS berumur antara 29 hingga 61 tahun, terdiri lapan warganegara tempatan dan seorang warga China menjalani hukuman itu mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata pesalah perlu menjalani hukuman kerja sosial mengikut tempoh jam yang ditetapkan atas kesalahan pembuangan sampah kecil di tempat awam, lapor Berita Harian.
"Mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas OKS menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan awam meliputi siar kaki, jalan raya, sistem perparitan dan kawasan persekitaran bagi memastikan kawasan kekal bersih, selamat dan kondusif.
"Jumlah tangkapan melonjak antara 25 hingga 60 kali ganda berbanding statistik yang dicatatkan pada Januari hingga Mac lalu.
"Sebanyak 2,857 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) direkodkan di tujuh negeri membabitkan 2,158 warganegara tempatan dan 699 warga asing sebagai sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan berterusan di bawah Akta 672.
"Secara keseluruhan, majoriti pesalah terdiri daripada golongan muda dan pertengahan umur, dengan kumpulan 30 hingga 39 tahun dengan peratusan tertinggi iaitu 30 peratus (896 orang), diikuti oleh 19–29 tahun sebanyak 29 peratus (874 orang) serta 40–49 tahun sebanyak 25 peratus (744 orang).
"Sementara itu, golongan 50 hingga 59 tahun menyumbang 11 peratus (316 orang) dan 60 tahun ke atas sebanyak 4.5 peratus (129 orang), manakala kumpulan bawah umur 0 hingga 18 tahun hanya merekodkan 0.5 peratus (15 orang)," katanya pada sidang media, hari ini.
Secara keseluruhannya, lebih 84 peratus pesalah berada dalam lingkungan umur 19 hingga 49 tahun, menunjukkan kumpulan utama.
Bagaimanapun, mahkamah turut mengutamakan aspek kemanusiaan terhadap pesalah-pesalah berkenaan.
"Sebagai contoh, seorang pesalah wanita mengandung hanya dijatuhkan hukuman satu jam kerja ringan seperti mengutip sampah.
"Pihak SWCorp turut menyediakan kemudahan seperti kerusi untuk berehat, air minuman, serta kelengkapan lain bagi memastikan aspek kebajikan dan kesihatan pesalah sentiasa terjaga semasa menjalankan hukuman," katanya.
Khalid berkata sehingga kini, seramai 69 pesalah selesai menjalani hukuman, manakala 46 lagi masih dalam proses menyelesaikan baki jam mereka.
Khalid memberitahu, siri ketujuh PKM dijadualkan akan berlangsung pada 30 April dengan penglibatan lebih 100 pesalah di tujuh buah negeri.








