Import e-waste dilarang sepenuhnya berkuat kuasa 4 Februari

4 Feb 2026, 12:48 PM
Import e-waste dilarang sepenuhnya berkuat kuasa 4 Februari

SHAH ALAM, 4 FEB: Pengimportan sisa elektronik (e-waste) kini diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak menerusi Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 berkuatkuasa serta-merta.

Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil. 2/2026 yang dipengerusikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menurut Azam, keputusan itu diambil sebagai langkah memperketat kawalan kemasukan sisa berbahaya dan melindungi alam sekitar.

“E-waste tidak lagi dibenarkan dan perlu buat penguatkuasaan tegas membabitkan semua agensi.

“Justeru, Jabatan Alam Sekitar (JAS) diarah untuk mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi meletakkan E-Waste di bawah kategori Larangan Mutlak dalam Perintah Kastam,” katanya.

Sebelum ini, e-waste disenaraikan di bawah kategori Larangan Bersyarat di mana Ketua Pengarah JAS mempunyai budi bicara untuk memberikan pengecualian tertakluk kepada syarat tertentu.

Sementara itu, Azam berkata, mesyuarat hari ini turut memutuskan penubuhan jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan oleh Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.

"Hasil mesyuarat jawatankuasa berkenaan perlu dilaporkan kepada Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara dalam tempoh seminggu bagi memastikan pengurusan e-waste lebih sistematik dan berkesan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, mesyuarat turut membincangkan cadangan pelaksanaan moratorium selama tiga bulan terhadap pengimportan sisa plastik, selaras dengan perbincangan serta arahan Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara (KSN).

"Bagaimanapun, sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) perlu mengemukakan data terperinci mengenai sumbangan sektor itu kepada ekonomi dan keperluan industri untuk pertimbangan Perdana Menteri," katanya.

Mesyuarat hari ini turut dihadiri Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fazlisyam Abd Majid; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Nor Yahati Awang; Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan.

Turut serta Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam SPRM, Sudirman Aban dan wakil pejabat Ketua Setiausaha Negara, Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Dalam Negeri (KDN), NRES serta AKPS.