SHAH ALAM, 12 MAC: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) melaksanakan Operasi Pemantauan Jualan Lemang dan Bunga Api pada 10 dan 11 Mac di sekitar Banting dan Telok Panglima Garang bagi memastikan aktiviti perniagaan mematuhi syarat pelesenan ditetapkan.
Operasi tersebut dilaksanakan melalui Jabatan Pelesenan dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Perbendaharaan MPKL.
Menurut kenyataan MPKL di Facebook, pemantauan dilakukan bagi memastikan peniaga memiliki permit yang sah selain menjalankan perniagaan di lokasi yang dibenarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta MPKL.
Hasil operasi mendapati 17 permit jualan bunga api dan satu permit jualan lemang telah dikeluarkan Jabatan Pelesenan MPKL, 14 permit jualan bunga api turut dikeluarkan kepada peniaga yang memenuhi syarat pelesenan MPKL, tambah kenyataan lagi.
Selain itu, operasi turut memantau aktiviti penjaja yang menjalankan perniagaan tanpa lesen bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan.
MPKL turut memaklumkan yang pemantauan dan penguatkuasaan akan dijalankan secara berkala bagi memastikan pematuhan peraturan berlaku demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.










