Gen Z sibuk kerja, Aidilfitri jadi ruang eratkan silaturahim keluarga

20 Mac 2026, 5:00 AM
Gen Z sibuk kerja, Aidilfitri jadi ruang eratkan silaturahim keluarga
Gen Z sibuk kerja, Aidilfitri jadi ruang eratkan silaturahim keluarga
Gen Z sibuk kerja, Aidilfitri jadi ruang eratkan silaturahim keluarga

SHAH ALAM, 20 MAC: Dalam kesibukan generasi Z (Gen Z) mengejar kerjaya dan menyesuaikan diri dengan kehidupan moden, masa bersama keluarga sering menjadi sesuatu yang semakin jarang dinikmati.

Justeru, Aidilfitri menjadi detik paling dinanti apabila anak-anak muda berpeluang pulang ke pangkuan keluarga, berkumpul semula dan menghidupkan kembali kehangatan silaturahim yang jarang dirasai sepanjang tahun.

Sofea Najihah Zulhelmy. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Bagi Ajmal Haziq, 23, Aidilfitri membawa makna tersendiri selepas sebulan menunaikan ibadah puasa.

“Setelah berpuasa selama sebulan, inilah masanya untuk kumpul beramai-ramai bersama seisi keluarga, sebelum raya pun sudah jarang berjumpa. Raya juga mampu merapatkan silaturahim bersama sanak saudara,” katanya kepada Media Selangor.

Nur Qasdeena Sharal Izam, 22. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Menurut Nur Qasdeena Sharal Izam, 22, yang kini sudah bekerja, kesibukan rutin harian menyebabkan masa bersama keluarga semakin terhad.

“Kehidupan selepas mula bekerja ini sudah lain, kita mula jarang dapat meluangkan masa bersama keluarga kerana kerja hakiki jadi Aidilfitri menjadi ruang untuk kita meluangkan masa yang ada bersama keluarga,” katanya yang bekerja di sebuah pusat perubatan.

Akuinya, pemahaman terhadap Aidilfitri juga berubah seiring peningkatan usia dan pengalaman hidup.

“Dulu masa kecil saya ingat Aidilfitri ini sekadar untuk dapat duit raya, tetapi bila sudah dewasa dan mula bekerja, saya pula yang memberi duit raya.

“Sekarang, selagi boleh luangkan masa dengan keluarga, kita hargai detik itu,” katanya yang akan pulang beraya di Kedah tahun ini.

 Nurzarra Zarelya, 14. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Turut sependapat, Nurzarra Zarelya, 14, menyifatkan Aidilfitri sebagai peluang mencipta kenangan indah bersama keluarga dan orang tersayang.

“Aidilfitri bagi saya sangat bermakna kerana boleh mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan semua orang berkumpul dan mencipta memori bersama,” katanya.

 Iman Uwais Al-Qarni, 17. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Iman Uwais Al-Qarni, 17, berpendapat masih terdapat segelintir generasi muda yang kurang memahami makna sebenar Aidilfitri walaupun mempunyai akses luas kepada peranti dan platform digital.

Menurutnya, perkembangan teknologi tidak semestinya menjadikan generasi muda lebih memahami nilai sebenar sesuatu perayaan jika tidak disertai dengan penghayatan.

“Generasi sekarang mungkin ada banyak peranti dan akses kepada maklumat, tetapi masih ada yang kurang memahami maksud sebenar Aidilfitri,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.