SHAH ALAM, 20 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memperketat syarat jualan lemang, ketupat dan bunga api bagi pemilik lesen sementara perayaan sempena Aidilfitri ini.
Pihak berkuasa tempatan itu menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, pelaksanaan syarat berkenaan akan dilaksanakan sepanjang tempoh 17 hingga 23 Mac ini.
"Semua peniaga perlu menyediakan anggota RELA atau pengawal keselamatan bagi mengawal lalu lintas di lokasi jualan," katanya.
Selain itu, peniaga juga digesa memastikan kenderaan pelanggan tidak diletakkan di atas jalan raya sehingga mengganggu aliran trafik.
"Tindakan tegas termasuk penutupan serta-merta akan diambil sekiranya arahan tidak dipatuhi atau aktiviti jualan menimbulkan kacau ganggu," menurut kenyataan sama.
Dalam pada itu, MPAJ turut memaklumkan kawalan lalu lintas akan dipertingkatkan di beberapa laluan utama iaitu Jalan MRR2, Jalan Ampang dan Jalan Kolam Ayer Lama.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan MPAJ di talian 03-4285 7344.








