Setiap pagi, sebelum kota terjaga, ribuan lori kompaktor sudah membelah jalan raya. Bagi kebanyakan kita, pengurusan sampah adalah rutin yang hampir 'halimunan'.
Selagi tong di depan rumah kosong, kita menganggap rantaian operasi tersebut selesai kerana sampah kita telah dikutip oleh kontraktor yang dilantik. Namun, hakikat di sebalik tabir jauh lebih rencam dan kritikal daripada apa yang dibayangkan.
Di sebalik lori kompaktor yang lalu di depan rumah kita untuk mengutip sampah, wujud sebuah ekosistem operasi kompleks yang jarang sekali difahami umum.
Analisis statistik: Skala sisa pepejal negara
Realiti pertama yang perlu kita hadam adalah skala sisa yang dihasilkan. Statistik terbaharu menunjukkan Malaysia kini menjana sekitar 39,000 tan sisa pepejal setiap hari (Sumber: Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara / SWCorp, 2026). Bayangkan, setiap rakyat Malaysia secara purata menyumbang kira-kira 1.17kg sampah sehari.
Apa yang lebih mengejutkan, hampir 44 peratus daripada sisa ini bukannya plastik atau tin, tetapi sisa makanan iaitu bersamaan 16,720 tan sehari yang dibuang begitu sahaja (Sumber: Kajian Komposisi Sisa Pepejal Kebangsaan).
Ini adalah satu pembaziran sumber yang amat besar. Persoalannya, bagaimana negara kita menguruskan sisa seberat 39,000 tan ini setiap hari tanpa gagal?
Di sinilah bermulanya kerumitan yang menuntut penyelarasan strategik melalui lensa 5M.
Faktor 5M: Nadi pengurusan sisa yang mampan
Untuk memastikan bandar kita tidak tenggelam dalam sampah, sebuah kerangka operasi yang dikenali sebagai ”5M” bekerja tanpa henti 24 jam sehari:
Man (Manusia): Ramai tidak tahu bahawa di sebalik sistem ini adalah wira tidak didendang yang berdepan risiko ergonomik dan cuaca ekstrem setiap hari. Stigma sosial terhadap pekerja pembersihan sering kali membuatkan kita lupa bahawa tanpa mereka, krisis kesihatan awam akan berlaku dalam tempoh kurang 48 jam.
Machine (Jentera): Lori kompaktor bukan sekadar kenderaan pengangkut. Ia adalah aset teknologi tinggi yang dilengkapi GPS untuk pemantauan masa nyata. Penyelenggaraan jentera ini sangat kritikal; satu lori yang rosak bermakna ratusan rumah akan mengalami gangguan kutipan.
Method (Kaedah): Pengurusan sisa sebenarnya bergantung kepada penyusunan operasi yang sistematik. Jadual kutipan perlu dirancang dengan teliti supaya setiap kawasan diliputi secara konsisten tanpa gangguan. Laluan lori kompaktor juga perlu dioptimumkan bagi menjimatkan masa dan bahan api. Penyelarasan jadual, laluan, dan pemantauan operasi harian inilah yang memastikan perkhidmatan kutipan sampah dapat berjalan dengan lancar dan efisien.
Money (Kos): Ini adalah realiti yang paling pahit. Pengurusan sisa memerlukan modal yang sangat besar. Kos bahan api, penyelenggaraan lori dan gaji pekerja serta kos untuk membuang sampah di tapak pelupusan (tipping fee) menelan belanja yang tinggi. Setiap tan sampah yang anda buang mempunyai kos implikasi kewangan yang besar kepada negara.
Mentality (Mentaliti): Walaupun teknologi (Machine) dan kaedah (Method) sudah canggih, segalanya boleh lumpuh disebabkan mentaliti. Selain keengganan mengasingkan sampah di punca (SAS) yang mempercepatkan kepenuhan tapak pelupusan, sikap segelintir penduduk yang masih gemar membuang sampah merata-rata (littering) dan mewujudkan titik panas sampah haram amat membimbangkan. Mentaliti "janji bersih di rumah sendiri" tanpa mempedulikan kebersihan kawasan awam meletakkan beban tambahan yang tidak sepatutnya kepada sistem operasi dan tenaga kerja.
Apabila dilihat secara menyeluruh, kelima-lima elemen ini sebenarnya saling berkait dan tidak boleh dipisahkan. Tenaga kerja yang mencukupi (Man), jentera yang berfungsi dengan baik (Machine), kaedah operasi yang efisien (Method) serta peruntukan kewangan yang mencukupi (Money) merupakan asas kepada sistem pengurusan sisa yang efektif dan efisien.
Namun, semua usaha ini boleh menjadi sia-sia sekiranya satu elemen yang paling sukar diuruskan masih gagal diperbaiki, iaitu mentaliti masyarakat terhadap sampah yang dihasilkan setiap hari.
Tanggungjawab kolektif masyarakat
Realitinya, pengurusan sampah adalah sebuah ekosistem yang rapuh. Setiap hari, ribuan lori kompaktor keluar mengutip sampah dari rumah ke rumah bagi memastikan negara kita tidak tenggelam dalam timbunan sisa. Namun hakikatnya, sistem ini tidaklah serumit mana untuk difahami kerana ia bukanlah ‘rocket science’.
Apa yang diperlukan hanyalah kerjasama asas daripada masyarakat untuk mentransformasikan mentaliti mereka terhadap pengurusan sampah: kurangkan pembaziran, asingkan sampah di punca, dan hargai usaha mereka yang bekerja setiap hari memastikan persekitaran kita kekal bersih.
Pada akhirnya, transformasi pengurusan sisa bukanlah bermula di bilik mesyuarat atau di tapak pelupusan. Ia sebenarnya bermula dari rumah kita sendiri iaitu daripada cara kita melihat dan mengurus sampah yang kita hasilkan setiap hari.
*Dr. Ahadi Bin Haji Mohd Nasir adalah Pengurus Besar di KDEB Services Sdn. Bhd.










