Isu sampah PPR Lembah Subang 1 selesai, kawasan lebih bersih, penduduk lega

8 Apr 2026, 2:12 AM
Isu sampah PPR Lembah Subang 1 selesai, kawasan lebih bersih, penduduk lega
Isu sampah PPR Lembah Subang 1 selesai, kawasan lebih bersih, penduduk lega
Isu sampah PPR Lembah Subang 1 selesai, kawasan lebih bersih, penduduk lega

SHAH ALAM, 8 APRIL: Isu timbunan sampah pukal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 berjaya diselesaikan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi negeri dan wakil rakyat tempatan.

Masalah berkenaan ditangani menerusi tindakan bersama Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS), Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) serta pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Pegawai Khas Pejabat DUN Seri Setia, Mohammad Azli Jamaasim berkata timbunan sampah berlaku susulan tamatnya kontrak pengurusan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kira-kira tiga bulan lalu.

Pegawai Khas Pejabat DUN Seri Setia, Mohammad Azli Jamaasim (tengah). Foto Pejabat ADN Seri Setia

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kawasan perumahan berkenaan sukar dilalui selain menjejaskan keselesaan penduduk.

“Timbunan sampah di PPR Lembah Subang 1 sebelum ini menyukarkan penduduk dan lalu lintas malah ADN Seri Setia, Dr Mohammad Fahmi Ngah telah menulis kepada Menteri KPKT, Nga Kor Ming dua bulan lalu bagi memohon penyelesaian segera.

“Alhamdulillah, masalah tersebut berjaya diatasi dengan bangunan PPR kini turut mengalami transformasi visual dengan cat baharu yang menjadikan suasana lebih kemas,” katanya menerusi hantaran video di Facebook.

Penduduk Mazlan Md Yunos (tengah). Foto Pejabat ADN Seri Setia

Sementara itu, penduduk Mazlan Md Yunos melahirkan rasa lega dan menghargai tindakan pantas pihak berkuasa dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Kami berterima kasih kepada ADN Seri Setia, Dr Mohammad Fahmi atas keprihatinan beliau. Kawasan ini penuh sampah sebelum Aidilfitri sehingga menyukarkan pergerakan penduduk,” ujarnya.

Bagi Anizah Mohamad, penyediaan kemudahan asas seperti tong sampah oleh pihak berkuasa membantu penduduk membuang sisa pepejal secara teratur.

Penduduk Anizah Mohamad (kanan). Foto Pejabat ADN Seri Setia

“Kami menghargai sokongan Dr Fahmi dan pasukannya serta pihak yang terlibat dalam menyediakan tong sampah di lokasi strategik sekali gus dapat menggalakkan kesedaran komuniti untuk menjaga kebersihan bersama,” tambahnya.

Penduduk, Rythami Japari menekankan usaha menjaga kebersihan memerlukan tanggungjawab bersama daripada setiap individu.

“Setiap penduduk perlu memainkan peranan dengan membuang sampah di tempat sepatutnya dan mengelakkan pembuangan sampah melalui tingkap atau kawasan tidak sesuai supaya dapat mengekalkan keceriaan dan keselesaan persekitaran,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan RM1.2 juta disalurkan bagi membaik pulih kemudahan asas di PPR Lembah Subang 1 termasuk lif yang rosak bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk.

Beliau ketika berkunjung ke PPR itu pada 13 Februari 2025 berkata pemberian dana segera itu bertujuan mempercepatkan kerja pembaikan dan memastikan kemudahan PPR kembali berfungsi dengan baik.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.