Video pijak al-Quran tular: SKMM giat jejak pemilik akaun ‘Dickie Borneo’

11 Mac 2026, 2:25 PM
Video pijak al-Quran tular: SKMM giat jejak pemilik akaun ‘Dickie Borneo’

SHAH ALAM, 11 MAC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bekerjasama dengan beberapa platform media sosial bagi mengesan pemilik akaun “Dickie Borneo”, susulan penyebaran visual di Threads dan Facebook yang menunjukkan seorang individu bertindak memijak al-Quran.

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya turut menjalinkan kerjasama rapat dengan polis bagi memastikan tindakan segera dan sewajarnya dapat diambil terhadap pihak yang terlibat.

Menurut suruhanjaya itu, perbuatan berkenaan bukan sahaja menghina agama Islam, malah berpotensi menimbulkan ketegangan serta menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Hasil semakan awal mendapati hantaran asal tersebut telah dipadam, manakala akaun yang dipercayai menggunakan nama Dickie Borneo tidak lagi dapat dikesan. Bagaimanapun, siasatan lanjut tetap diteruskan,” menurut kenyataan itu.

SKMM turut memaklumkan pemantauan lanjut mendapati terdapat beberapa hantaran lain yang mengandungi unsur penghinaan agama, dipercayai melibatkan individu sama dalam sebuah kumpulan media sosial.

Kesemua kandungan berkaitan telah dipelihara sebagai bahan bukti bagi tujuan siasatan serta tindakan lanjut.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan semula kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan atau menjejaskan ketenteraman awam.

“SKMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang kandungan yang menghina agama, menghasut kebencian atau menyentuh sensitiviti kaum, agama serta institusi diraja. Tindakan tegas boleh diambil mengikut undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan tersebut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.