SHAH ALAM, 2 MAC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengambil tindakan terhadap penularan semula video lama yang memaparkan kandungan menghina agama Islam pada 2024.
Menurut kenyataan SKMM hari ini, kandungan video tersebut memperlihatkan perbuatan memijak al-Quran yang dipercayai berlaku di Singapura dan dilakukan oleh warganya.
Agensi itu menerima aduan orang awam berhubung penyebaran semula video berkenaan yang menimbulkan kegusaran serta ketegangan dalam kalangan masyarakat.
“Berdasarkan siasatan awal, dipercayai individu yang terlibat merupakan seorang warga Singapura dan insiden tersebut juga berlaku di Singapura,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, SKMM bekerjasama dengan platform media sosial terbabit, termasuk Threads, Facebook dan TikTok, bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil, termasuk menyekat penyebaran serta akses terhadap kandungan berkenaan di Malaysia.
SKMM menegaskan bahawa penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti agama dan berpotensi menggugat keharmonian masyarakat adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan semula kandungan tersebut,” tegas SKMM.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada SKMM melalui pautan aduan.mcmc.gov.my atau kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.







