Lima sekeluarga cemas kereta terbakar ketika pulang ke kampung

19 Mac 2026, 2:59 AM
Lima sekeluarga cemas kereta terbakar ketika pulang ke kampung

SHAH ALAM, 19 MAC: Lima sekeluarga melalui detik cemas apabila kereta Proton Waja dinaiki mereka terbakar di Kampung Pahi, berhadapan Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, Kelantan, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penguasa Bomba Kanan Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.48 malam, lapor Harian Metro.

Beliau berkata seramai enam anggota termasuk pegawai dari BBP Kuala Krai dikerahkan ke lokasi dan setibanya di tempat kejadian mendapati kenderaan berkenaan sudah terbakar sepenuhnya.

“Sebelum kejadian, pemandu menyedari asap keluar dari bonet hadapan lalu memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan segera mengeluarkan semua barang termasuk beg pakaian.

“Mereka sekeluarga yang dalam perjalanan dari Nilai ke Kok Lanas untuk menyambut Aidilfitri terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.33 malam selepas keadaan disahkan selamat.

“Pihak forensik masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Tambahnya, Skuad Bantu Kuala Krai turut membantu menghantar pulang lima sekeluarga itu ke Kok Lanas.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.