AI bantu kreativiti, bukan gantikan pengkarya muzik dan filem - Menteri

10 Mac 2026, 2:16 PM
AI bantu kreativiti, bukan gantikan pengkarya muzik dan filem - Menteri

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Kecerdasan buatan (AI) perlu dilihat sebagai alat yang mampu memperkukuh proses kreatif dalam industri seni khususnya muzik serta perfileman, dan bukannya mengganti peranan pengkarya.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata proses kreatif pada asasnya masih berpaksikan idea dan sentuhan manusia serta perlu dipelihara bagi memastikan masa depan industri kreatif terus relevan.

“Bagi saya, the creative act is still a human act dan ini satu perkara yang bagi saya penting... bukan hanya untuk masa depan industri kreatif khusus dalam bidang muzik malah kalau kita lihat dalam bidang perfileman, AI juga digunakan... contohnya, to produce mood board.

“AI tidak boleh mengganti pembikin filem, sebaliknya ia boleh membantu dalam proses kreatif,” katanya kepada pemberita pada program Kasih Ramadan dan Iftar Kementerian Komunikasi di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengarah IPPTAR Datuk Roslan Ariffin.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nu-rul Afida Kamaludin.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata bagi industri muzik, lebih banyak perbincangan perlu diadakan dengan badan berkaitan seperti Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), Recording Performers Malaysia Bhd (RPM) dan Public Performance Malaysia Bhd (PPM) bagi menentukan penggunaan AI tidak menjejaskan pengkarya.

“Ini supaya kita boleh tentukan batas-batas yang boleh diterima oleh pengkarya, penulis lirik dan semua yang terlibat dalam industri muzik... saya percaya AI tidak akan menggantikan artis tetapi yang akan menggantikan artis ialah artis yang pandai menggunakan AI,” katanya.

Bagi mengembangkan penggunaan AI, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi telah meminta IPPTAR terus memainkan peranan dalam menyediakan latihan kepada lebih ramai kakitangan agensi dan jabatan di bawah kementerian itu.

Beliau berkata IPPTAR juga antara institut terawal yang memulakan modul latihan berkaitan AI bagi meningkatkan kemahiran penjawat awam.

Terdahulu, Fahmi merasmikan Sambutan Jubli Zamrud 55 Tahun IPPTAR yang ditubuhkan sejak 1971.

Beliau berkata 10 Mac juga signifikan dalam sejarah institut itu kerana pada tarikh sama tahun 1975, Perdana Menteri ketiga, iaitu Tun Hussein Onn telah menamakan institut berkenaan sebagai IPPTAR.

Pada majlis itu, Fahmi turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada 10 pengamal media termasuk veteran industri yang berdepan masalah kesihatan dan kesulitan hidup bagi membantu mereka membuat persiapan Aidilfitri.

Ia sebagai menghargai jasa dan sumbangan pengamal media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Sejak diperkenal pada April 2023, Tabung Kasih@HAWANA telah memanfaatkan seramai 668 pengamal media di seluruh negara.

Inisiatif Tabung Kasih@HAWANA dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi menerusi BERNAMA semasa sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 sebagai usaha memperkukuh kebajikan komuniti media.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.