SHAH ALAM, 18 APRIL: Sindiket penipuan haji kini semakin licik apabila menggunakan teknologi digital serta rangkaian antarabangsa bagi memperdaya mangsa.
Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Dato’ Seri Ayub Yaakob berkata sindiket tidak lagi beroperasi secara konvensional, sebaliknya menjalankan kajian terperinci sebelum menyasarkan mangsa.
"Scammer buat kajian, dia tengok sektor mana dia boleh masuk, termasuk sistem dan sentimen manusia yang memang teruja untuk pergi haji," katanya kepada Media Selangor.
Menurut beliau, sektor haji menjadi sasaran kerana melibatkan jumlah jemaah yang besar serta nilai kewangan tinggi.
Sindiket semakin tersusun dan terancang
Ayub berkata sindiket ini melibatkan rangkaian tempatan dan antarabangsa dengan struktur operasi yang kompleks.
"Dia bukan satu negara sahaja malah melibatkan pelbagai negara. Mereka upah orang biasa dan profesional, malah ada yang dipergunakan termasuk ejen sendiri," katanya.
Beliau menjelaskan ada antara individu terlibat sebenarnya juga mangsa, termasuk mereka yang direkrut sebagai ejen tanpa menyedari peranan sebenar.

Selain itu, sindiket turut menggunakan nama tokoh agama dan selebriti bagi meningkatkan kepercayaan orang ramai.
"Apabila scammer ini gunakan pempengaruh atau nama besar, orang akan mudah percaya tanpa membuat semakan," katanya.
Teknologi dan AI jadikan penipuan sukar dikesan
Ayub berkata modus operandi turut berkembang seiring kemajuan teknologi termasuk penggunaan aplikasi dan kecerdasan buatan (AI).
"Sekarang aplikasi pun mudah dicipta, boleh masukkan dokumen atau fakta tertentu supaya nampak asli.
"AI menjadikan penipuan lebih sukar dikesan kerana ia boleh meniru suara dan wajah individu tertentu bagi mempengaruhi mangsa," tegasnya.
Tambah beliau, penipuan ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan malah mengundang risiko keselamatan kepada jemaah.
"Ada yang kena lari ikut padang pasir. Kalau ditangkap, mereka akan ditahan sampai habis musim haji," katanya.
Pakej murah dan visa pelancong perdaya mangsa
Sementara itu, Naib Pengerusi Haji & Umrah Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Azri Abd Razak berkata taktik paling biasa digunakan ialah menawarkan pakej murah yang tidak masuk akal.

"Kebanyakan modus operandi guna visa pelancong dan harga pakej murah, tetapi sebenarnya tiada permit haji," katanya.
Menurutnya, jemaah biasanya dibawa secara transit sebelum memasuki Makkah tanpa kelulusan sah.
"Jemaah biasanya ditawar mulakan ibadah selepas Syawal dan akan ditransit ke tempat lain dahulu seperti Riyadh, kemudian baru ke Jeddah," katanya.
Pada masa sama, kedua-dua mereka juga bersetuju faktor utama mangsa terpedaya ialah kurang pengetahuan serta keinginan tinggi untuk menunaikan ibadah haji.
Tambah mereka, terdapat juga golongan yang terlalu obses menunaikan haji, namun tidak sanggup menunggu giliran walaupun berkemampuan, sekali gus menjadi punca mereka mudah terpedaya.
Mengulas langkah pencegahan, Ayub menegaskan pendekatan perlu beralih daripada siasatan selepas kejadian kepada pencegahan lebih awal.
"Lembaga Tabung Haji (TH) sendiri juga perlu lebih telus tentang kuota yang diperuntukkan supaya lebih mudah untuk buat pemantauan selain perlu ada jawatankuasa khas untuk memantau isu ini," tegasnya.
Beliau turut mencadangkan kempen kesedaran dipergiat termasuk di peringkat sekolah dan komuniti.
Dalam pada itu, Mohd Azri menasihatkan orang ramai supaya menyemak tawaran melalui TH sebelum membuat bayaran.
"Jika penipuan ini berterusan, ia bukan sahaja memberi kesan dan trauma kepada jemaah malah hubungan diplomatik dengan Arab Saudi juga akan terjejas," katanya.










