SHAH ALAM, 10 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan menerima serahan zakat perniagaan beberapa anak syarikat negeri dan badan korporat berjumlah RM8.4 juta.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerima zakat terbabit ketika majlis berbuka puasa bersama rakyat serta penyampaian sumbangan Aidilfitri daerah Petaling di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, dekat sini.
Serahan zakat itu melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjumlah lebih RM2.6 juta, diikuti Sime Darby Property Berhad sebanyak RM2 juta dan Jakel Trading Sdn Bhd sebanyak RM1.5 juta.
Turut menyerahkan zakat ialah Permodalan Negeri Selangor Berhad sebanyak RM1.3 juta serta Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berjumlah RM1 juta.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin diiringi DYMM Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 510 asnaf melibatkan 100 fakir, 354 miskin dan 56 muallaf.
Setiap asnaf menerima RM500, menjadikan keseluruhan peruntukan sumbangan berjumlah RM255,000.
Baginda berdua kemudiannya berbuka puasa serta menunaikan solat Maghrib, Isyak, dan sunat Terawaih bersama rakyat.

Sementara itu, Pegawai Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohamed ketika sembah ucapan memaklumkan Sime Darby Berhad bersetuju menyerahkan tanah bersebelahan Masjid Tengku Ampuan Jemaah seluas 0.9636 hektar kepada pihak pegurusan masjid.
“Ini untuk pembangunan kuarters dan dewan. Sumbangan dijangka akan menambah keselesaan jemaah di sini dan meninggikan lagi syiar Islam di kawasan Bukit Jelutong,” katanya.








