KUALA LANGAT, 8 MAC: Sumbangan hari raya yang disampaikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menceriakan Ramadan golongan asnaf di Kuala Langat apabila menerima bantuan bagi membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
Penerima sumbangan, Suzini Aman, 52, meluahkan rasa syukur kerana bantuan yang diterima daripada Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dapat meringankan beban kewangannya untuk menyediakan kelengkapan raya.
“Alhamdulillah kerana sumbangan ini dapat membantu menampung perbelanjaan. Ini juga kali pertama saya menerima bantuan seperti ini.
“Saya akan gunakan wang ini untuk membeli persiapan raya seperti baju anak dan barang kegunaan harian,” katanya yang bekerja sebagai peniaga serta pengusaha bekam di Kampung Kanchong Tengah di sini.

Seorang lagi penerima, Mohd Khalid Nasir, 73, turut menzahirkan rasa syukur selepas menerima sumbangan yang menurutnya sangat membantu untuk membuat persiapan Aidilfitri bersama keluarga.
“Saya mengucapkan syukur kepada Allah dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) kerana memberikan sumbangan ini kepada saya dan keluarga.
“Sumbangan ini akan digunakan untuk keperluan keluarga kami kerana kami akan menyambut raya di kampung ini sahaja,” katanya yang merupakan bekas tentera.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya berjumlah RM247,500 kepada 495 penerima terdiri daripada 242 fakir, 221 miskin dan 32 mualaf, dengan setiap penerima menerima RM500.
Majlis berlangsung di Masjid An-Nur Kampung Kanchong Tengah di sini semalam.
Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.








