KUALA LUMPUR, 10 Mac: Seorang wanita warga Indonesia ditemukan lemas selepas terjun ke tasik di Taman Tasik Lake Valley, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, semalam, dipercayai ketika cuba melarikan diri daripada pihak kedutaan negaranya.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 4.35 petang sebelum enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikejarkan ke lokasi.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada peringkat awal menggunakan kaedah pencarian di permukaan air sebelum disusuli selaman oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).
"Unit PPDA melakukan selaman pada 10.10 malam dan mangsa dijumpai 10.19 malam pada jarak kira-kira enam meter dari tebing di kedalaman tiga meter," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu dibawa naik ke tebing sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata pasukan SAR turut disertai dua wakil kedutaan Indonesia dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.10 malam.








