200 polis bantuan ditugaskan tangani kecurian kabel di laluan ECRL

6 Okt 2026, 7:20 AM
200 polis bantuan ditugaskan tangani kecurian kabel di laluan ECRL

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Sebanyak 200 anggota polis bantuan akan ditugaskan di lokasi titik panas Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bermula November sebagai langkah tambahan menangani isu kecurian kabel dan usaha berterusan memastikan kelancaran operasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata pihaknya turut memasang alat pengesan, sistem penggera, kamera litar tertutup dan menggunakan khidmat pengawal keselamatan serta mendapatkan kerjasama pihak berkuasa dalam menangani isu itu.

“Sepanjang pembinaan ECRL, kita mengalami kerugian kira-kira RM4 juta akibat kecurian kabel termasuk tiga kes pada bulan lepas,” katanya ketika Taklimat ECRL kepada Pengarang Berhubung Kesiapsiagaan Operasi ECRL bersama-sama media di sini hari ini.

Selain itu, Darwis berkata selaku pemilik projek dan aset ECRL, MRL memaklumkan sasaran pengoperasian pada pertengahan Disember 2026 adalah realistik, berdasarkan keputusan positif ujian System Integration Testing (SIT) rangkaian rel ECRL.

“Kemajuan terkini dalam fasa Pengujian dan Pentauliahan ECRL membolehkan Fault-Free Run (FFR) yang melibatkan unit elektrik berganda (EMU) bagi perkhidmatan penumpang serta Electric Locomotive (E-Loco) bagi perkhidmatan kargo dimulakan pada Oktober, lebih awal daripada jadual asal November 2026 tanpa menjejaskan aspek keselamatan dan kualiti,” katanya.

Dalam pada itu, Darwis menyambut baik persetujuan Kerajaan Malaysia dan China bagi cadangan menyambung jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang sejauh kira-kira 30 kilometer (km).

Beliau berkata sambungan jajaran itu dijangka turut menggunakan semula laluan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) sepanjang kira-kira 18 km dari Pasir Mas ke Rantau Panjang yang tidak lagi beroperasi sejak 2005.

“Projek ini akan membantu melancarkan pergerakan kargo dari selatan Thailand ke Malaysia, sekali gus membuka ruang untuk kita meneroka potensi penyambungan jajaran tersebut,” katanya.

Pelanjutan ECRL itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas lawatan kerja ke China baru-baru ini yang berpotensi menghubungkan rangkaian rel Malaysia dengan jaringan rel Thailand di pantai timur, sekali gus mewujudkan sinergi lebih besar dalam rangkaian rel Pan-Asia.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECRL Operation Sdn Bhd Zaidi Sharif berkata perkhidmatan kargo E-Loco menerima permintaan menggalakkan daripada syarikat terkemuka yang mahu mengurangkan kos pengangkutan selain meminimumkan jejak karbon.

“Pengoperasian E-loco tidak mempunyai jadual perjalanan sebaliknya berdasarkan permintaan syarikat yang memerlukan perkhidmatan kargo yang akan beroperasi pada waktu malam,” katanya.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.