SHAH ALAM, 10 MAC: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengesan beberapa individu menyalahgunakan tong sampah khas peniaga di kawasan bersebelahan Medan Selera Jalan Stadium di Kuala Selangor sehingga menyebabkan keadaan kotor dan tidak terurus.
Unit Korporat MPKS memaklumkan tong sampah berkenaan sebenarnya disediakan khusus untuk kegunaan peniaga di medan selera terbabit bagi tujuan pengurusan sisa premis.
Menurutnya, lokasi tong sampah itu juga dipilih secara munasabah dan bersesuaian dengan keperluan operasi serta pengurusan sisa di kawasan berkenaan.
"Bagi memastikan kebersihan sentiasa terpelihara, kutipan sampah di lokasi berkenaan dilaksanakan KDEB Waste Management (KDEBWM) dengan kekerapan tujuh kali seminggu.
"Selain itu, MPKS turut mengarahkan KDEBWM melaksanakan kerja-kerja pembersihan dalam radius lima meter dari lokasi tong sampah bagi mengelakkan longgokan dan pencemaran persekitaran," katanya seperti dilapor Harian Metro.
Terdahulu, akhbar terbabit melaporkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan tong sampah di kawasan itu sebagai tempat pembuangan sampah sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.
Keadaan itu bertambah buruk apabila kawasan sekitar menjadi kotor dengan pelbagai jenis sampah yang berselerak selepas diselongkar anjing liar.
Difahamkan keadaan tersebut berlaku sejak dua hingga tiga tahun lalu dan semakin ketara menjelang Ramadan apabila sisa makanan serta sampah basah turut dibuang di lokasi berkenaan.
Unit Korporat MPKS berkata pihaknya turut memasang papan tanda 'SILA BUANG SAMPAH DI DALAM TONG' sebagai peringatan kepada peniaga supaya sisa dibuang dengan teratur dan tidak diletakkan di luar tong.
Sehubungan itu, MPKS akan mempertingkatkan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kemudahan berkenaan tidak disalahgunakan.
"Bagi kawasan taman perumahan pula, kutipan sisa pepejal dilaksanakan menggunakan kaedah kutipan di hadapan rumah dengan kekerapan tiga kali seminggu mengikut jadual yang ditetapkan.
"MPKS sentiasa komited dalam memastikan aspek kebersihan dan keselesaan awam berada pada tahap terbaik serta menghargai setiap aduan dan pandangan yang dikemukakan oleh masyarakat demi penambahbaikan perkhidmatan," katanya.








