JAIS pindah kepakaran pendidikan ke Kemboja

11 Mac 2026, 2:01 AM
JAIS pindah kepakaran pendidikan ke Kemboja
JAIS pindah kepakaran pendidikan ke Kemboja

PHNOM PENH, 11 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat pemindahan menyeluruh model pendidikan Islam ke Kemboja sejak 2012.

Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan JAIS Muhamad Asmadi Mustakim berkata ia bukan sekadar bantuan, sebaliknya pemindahan lengkap kerangka pendidikan secara berfasa dan konsisten.

Katanya, empat komponen digerakkan serentak iaitu pemindahan kurikulum, penterjemahan tujuh mata pelajaran buku teks ke bahasa Champa, latihan tenaga pengajar dan pengenalan peperiksaan.

“Selama 13 tahun, kami bertanggungjawab membantu pembangunan pendidikan Islam di Kemboja dengan memberi tumpuan kepada murid di seluruh wilayah,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Projek Pembangunan Pendidikan Islam Kemboja berkata demikian dalam wawancara khas bersama Media Selangor, baru-baru ini.

Kerjasama rasmi Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), JAIS dan pihak berkuasa agama Kemboja dimeterai pada 2012.

Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan JAIS Muhamad Asmadi Mustakim

Muhamad Asmadi memberitahu langkah tersebut dijalankan secara sistematik melibatkan pemindahan kepakaran kedua-dua pihak bagi memastikan kelangsungan jangka panjang.

“Hampir 35 guru Kemboja dibawa ke Selangor untuk memahami sistem pendidikan JAIS. Dalam tempoh sama, seramai 35 guru dari Selangor dihantar ke Kemboja secara berperingkat,” katanya.

Katanya, tujuh buku teks diterjemah ke bahasa Champa dan digunakan di sekolah rendah agama di Kemboja dengan kandungannya disesuaikan dengan konteks setempat dalam bahasa ibunda mereka.

Menurutnya, penilaian sekolah rendah agama versi Kemboja dijalankan lima kali manakala peperiksaan keenam pada September 2026 hasil perbincangan bersama Pejabat Mufti Kemboja.

Pelajar sekolah agama di Kemboja. Foto RAZIF MAT ARBAK/MEDIA SELANGOR

Siang bekerja, malam ajar agama

Sebelum sukatan pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diguna pakai di Kemboja, pengajaran dan pembelajaran Islam di kawasan kampung dijalankan tanpa keseragaman.

Presiden Guru Agama Islam Wilayah Chnang, Asnawi Isa memberitahu pengajian tertumpu kepada pentelaahan al-Quran dan kitab lama tanpa hala tuju, malah kebajikan guru agama terabai.

Beliau juga menjelaskan ramai guru agama terpaksa mengajar sehingga 100 atau 200 murid dalam satu-satu masa ekoran tiada sistem seimbang dan tersusun.

Katanya lagi, mereka juga hidup dalam serba kekurangan kerana mereka tidak menerima sebarang gaji tetap sebaliknya hanya bergantung kepada sumbangan masyarakat.

“Ada guru terpaksa bekerja di sawah atau ladang. Pada waktu pagi, mereka bekerja dan waktu petang serta malam barulah mereka mengajar,” katanya dalam wawancara dengan Media Selangor.

Pelajar sekolah agama di Kemboja. Foto RAZIF MAT ARBAK/MEDIA SELANGOR

Asnawi memberitahu sistem pendidikan berasaskan sukatan JAIS mengubah landskap pengajian di Kemboja, dari kaedah pondok kepada struktur tersusun.

Beliau berkata sistem JAIS juga membawa perubahan ketara ekoran ramai ibu bapa semakin yakin menghantar anak ke sekolah agama yang mengandungi kurikulum dan hala tuju jelas.

Katanya, kebajikan guru turut meningkat selepas adanya struktur rasmi dan sistem penggajian, sekali gus memudahkan mereka memberi tumpuan kepada pengajaran.

Menurut Asnawi lagi, perkembangan itu memperkukuh pendidikan Islam hingga ke peringkat lebih tinggi termasuk menengah dan universiti bagi membina asas masa depan umat Islam di negara tersebut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.