SHAH ALAM, 9 MAC: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 akan diumumkan pada 31 Mac ini, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Dalam kenyataan hari ini, kementerian memaklumkan seramai 413,299 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan berkenaan yang berlangsung di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.
Menurut KPM, calon sekolah boleh mendapatkan keputusan masing-masing di sekolah mulai jam 10 pagi pada tarikh tersebut.
“Calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan SPM 2025 di sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi,” menurut kenyataan itu.
Bagi calon persendirian pula, mereka boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat pendaftaran bagi mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing.
KPM turut mengingatkan pihak sekolah supaya memastikan proses penyerahan keputusan kepada calon dilaksanakan secara cekap dan teratur.
Selain itu, keputusan juga boleh disemak melalui dua kaedah dalam talian iaitu menerusi pautan myresultspm.moe.gov.my bermula jam 10 pagi, 31 Mac hingga 6 petang, 6 April.
Semakan juga boleh dibuat melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan menghantarnya ke 15888 dalam tempoh yang sama.
“Sistem ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi pada 31 Mac hingga 6 petang, 6 April,” menurut kenyataan tersebut.








