Festival Kesenian Islam meriahkan Ramadan, satukan elemen seni, peniaga, komuniti

8 Mac 2026, 5:52 AM
Festival Kesenian Islam meriahkan Ramadan, satukan elemen seni, peniaga, komuniti
Festival Kesenian Islam meriahkan Ramadan, satukan elemen seni, peniaga, komuniti
Festival Kesenian Islam meriahkan Ramadan, satukan elemen seni, peniaga, komuniti

AMPANG, 8 Mac: Festival Kesenian Islam: Alunan Mahabbah Ramadan menjadi platform terbaik menghimpunkan elemen seni, peniaga dan komuniti dalam suasana bulan mulia itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program seumpama itu bukan sahaja memeriahkan sambutan Ramadan, malah memberi ruang kepada masyarakat berkumpul bersama keluarga dan komuniti.

“Bagi Kerajaan Negeri, kami amat mengalu-alukan penganjuran program seperti ini kerana ia memberi manfaat kepada pelbagai kelompok masyarakat.

“Kita turut meraikan para peniaga yang menjual makanan dan pelbagai keperluan menjelang Aidilfitri. Dalam masa sama, kita juga mengetengahkan elemen kesenian dan hiburan yang berunsurkan kerohanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke festival berkenaan yang berlangsung di Laman Santai @ Ampang Point, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada pembangunan sektor seni dan industri kreatif yang berpotensi menjana nilai ekonomi kepada negeri.

Amirudin berkata ekonomi kreatif bukan sekadar bentuk hiburan semata-mata, sebaliknya mampu memberi nilai tambah serta gandaan ekonomi kepada masyarakat.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita berusaha menyediakan kerangka perundangan dan peraturan yang baik bagi menyokong perkembangan industri ini.

“Antara usaha yang telah dilakukan termasuk memberikan beberapa pelepasan, seperti pengecualian cukai hiburan, kerana kita percaya langkah ini dapat membantu mengembangkan bakat serta memajukan sektor ekonomi kreatif di negeri Selangor,” katanya.

Festival Kesenian Islam: Alunan Mahabbah Ramadan dijadual berlangsung selama dua hari bermula 7 hingga 8 Mac di Laman Santai @ Ampang Point.

Pelbagai pengisian menarik disediakan kepada pengunjung termasuk program Nuzul al-Quran, jualan gerai, agihan bubur lambuk serta pelbagai aktiviti kekeluargaan.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan nasyid Hijjaz, Qathrunnada dan Angham Anisah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.