Sultan Selangor rasmi Masjid An-Nur, agih sumbangan raya kepada 495 penerima

7 Mac 2026, 2:44 PM
Sultan Selangor rasmi Masjid An-Nur, agih sumbangan raya kepada 495 penerima
Sultan Selangor rasmi Masjid An-Nur, agih sumbangan raya kepada 495 penerima
Sultan Selangor rasmi Masjid An-Nur, agih sumbangan raya kepada 495 penerima

KUALA LANGAT, 7 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan berangkat ke majlis perasmian Masjid An-Nur Kampung Kanchong Tengah sempena Ihya’ Ramadan bersama rakyat di sini, hari ini.

Keberangkatan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Masjid yang terletak di atas tanah seluas 2.1 ekar itu menelan kos RM600,000 dan menjadi pusat ibadah serta aktiviti keagamaan masyarakat setempat.

Ia dibina pada awal 1960-an dan mula beroperasi pada tahun 1982 bagi menggantikan masjid lama yang berstruktur kayu.

Masjid itu mampu memuatkan sehingga 300 jemaah dalam satu-satu masa.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melakukan gimik perasmian Masjid An-Nur sempena majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Hari Raya di Masjid An-Nur Kampung Kanchong Tengah, Kuala Langat pada 7 Mac 2026. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Dalam majlis sama, Baginda turut berkenaan menyampaikan sumbangan Adilfitri berjumlah RM247,500 kepada 495 individu terdiri daripada 242 fakir, 221 miskin dan 32 muallaf, dengan setiap seorang menerima RM500.

Sumbangan berkenaan mencerminkan keprihatinan Institusi Diraja dan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan golongan memerlukan terus terbela, khususnya sepanjang Ramadan.

Sultan Sharafuddin kemudian berbuka puasa dan menunaikan solat maghrib, isyak serta tarawih bersama rakyat.

Turut hadir Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.