Ancaman dari langit peringatan tegas buat golongan ingkar (VIDEO)

7 Mac 2026, 1:30 PM
Ancaman dari langit peringatan tegas buat golongan ingkar (VIDEO)

SHAH ALAM, 7 MAC: Sempena Hari Nuzul al-Quran hari ini, Surah al-Mulk ayat 17 mengingatkan bahawa Allah boleh menurunkan ancaman dari langit sebagai balasan kepada golongan yang enggan beriman dan terus ingkar kepada Allah.

Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi berkata ayat tersebut merupakan kesinambungan kepada ayat 16 yang sebelum ini membicarakan ancaman dari bumi terhadap golongan ingkar.

“Dalam ayat 17 ini, Allah menyambung bentuk ancaman tersebut. Di sini, bentuk ancaman itu adalah angin yang membawa batu. Ini melambangkan kepada kita bahawa azab Allah itu sangat dasyat kepada mereka yang ingkar.

“Keingkaran di sini, adalah keingkaran daripada beriman, bertauhid dan percaya kepada usul akidah, usul keimanan kepada Allah. Maknanya menolak daripada mempercayai apa yang disampaikan utusan Allah.

“Kalau ayat 16 melibatkan bumi, tetapi ayat 17 pula melibatkan langit. Kenapa didahulukan bumi? Ada pelbagai pendapat ulama, antaranya kerana di bumi ada manusia duduk di situ,” katanya.

Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi menghuraikan kandungan dan ayat Surah Al-Mulk dalam progam tadabbur al-Quran 30 hari 30 ayat bersama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Terdahulu, ayat berkenaan dibacakan oleh Dato’ Menteri Besar dengan bimbingan Ahmad Fakhrurrazi menerusi program Tadabbur al-Quran 30 Hari 30 Ayat bersama Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan.

Dalam kupasan ayat 16 semalam, dijelaskan bahawa bumi juga boleh menjadi sebab turunnya azab jika manusia terus bersikap sombong dan tidak patuh kepada perintah Allah.

Sebagai penutup, Amirudin mengingatkan umat Islam agar meningkatkan ketakwaan dan memperbanyakkan amalan kebaikan sepanjang Ramadan.

Tangkap layar rakaman video progam tadabbur al-Quran 30 hari 30 ayat sempena Ramadan bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Semoga kita semua bertambah takwa kepada Allah. Kita hamba-Nya yang menurut perintah Allah dan jika tidak menurut perintah tersebut, amaran itu juga boleh sampai kepada kita,” katanya.

Program tadabbur yang memasuki tahun keempat penganjuran itu disiarkan menerusi platform media sosial Dato' Menteri Besar, Media Selangor dan TV Al-Hijrah bermula 1 Ramadan dengan kupasan Surah al-Mulk.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.