Elak tangguh taubat, manfaat Ramadan untuk kembali kepada Allah SWT (VIDEO)

1 Mac 2026, 11:00 AM
Elak tangguh taubat, manfaat Ramadan untuk kembali kepada Allah SWT (VIDEO)
Elak tangguh taubat, manfaat Ramadan untuk kembali kepada Allah SWT (VIDEO)
Elak tangguh taubat, manfaat Ramadan untuk kembali kepada Allah SWT (VIDEO)

SHAH ALAM, 1 MAC: Pengakuan ahli neraka terhadap dosa dan kesilapan seperti digambarkan dalam ayat ke-11 Surah Al-Mulk menjadi peringatan kepada umat Islam agar tidak menangguhkan taubat serta memanfaatkan Ramadan untuk segera kembali kepada Allah SWT.

Menerusi kupasan ayat, Timbalan Mufti Pahang Dato’ Dr Badli Shah Alauddin menggambarkan suasana dialog ahli neraka apabila mereka akhirnya mengakui kesalahan, namun pengakuan itu tidak lagi memberi manfaat.

"Dalam ayat ini Allah SWT merekodkan bahawa akhirnya mereka mengaku segala dosa, kesilapan dan kebinasaan untuk mereka, namun pengakuan itu sudah tidak berguna kerana Allah SWT tidak terima penyesalan bila sudah kiamat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program tadabbur al-Quran 30 hari 30 ayat bersama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam episod Ramadan ke-11.

Menurut beliau, manusia ketika hidup sering menafikan kesalahan, memanipulasi dan menormalisasikan perbuatan salah, namun di akhirat kelak tiada lagi hujah atau alasan.

"Di akirat tiada yang akan membela kita meskipun peguam yang paling mahal. Sebagaimana dalam ayat ini, akhirnya mereka tunduk mengaku bersalah, tetapi semuanya sudah terlambat," katanya.

Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Dr Badli Shah Alauddin menghuraikan kandungan dan ayat Surah Al-Mulk dalam progam tadabbur al-Quran 30 hari 30 ayat bersama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau turut mengingatkan umat Islam agar menyegerakan taubat khususnya dalam bulan Ramadan dan tidak menunggu waktu tertentu.

"Jangan tunggu pencen, jangan tunggu Lailatulqadar atau 10 Ramadan terakhir. Bertaubatlah segera selagi pintu taubat masih terbuka. Penyesalan hanya diterima ketika manusia masih hidup," katanya.

Sebagai peringatan, beliau menekankan taubat termasuk dalam perkara yang perlu disegerakan apabila seseorang menyedari dirinya melakukan dosa, di samping beberapa urusan lain yang wajar dipercepatkan dalam kehidupan seharian.

"Lima perkara yang perlu disegerakan iaitu menyediakan makanan untuk tetamu, mengurus jenazah, menikahkan anak perempuan, membayar hutang sebelum habis tempoh dan bertaubat apabila sudah membuat dosa," jelasnya.

Sebagai penutup kupasan, Amirudin berkata sebagai umat Islam kita seharusnya segera bertaubat dan di mana saja selain beringat setiap apa yang dilakukan.