Pelakon veteran Angeline Tan menukar agama kepada Islam pada 2023 ketika berusia lebih setengah abad dan di tengah-tengah ahli keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Buddha.
Namun, di sebalik kebimbangan yang menghantui dirinya, keputusannya dihormati. Ini sekali gus menjadi antara kekuatan terbesar wanita itu untuk terus melangkah dengan penuh keyakinan.
Saat mendebarkan berlaku semasa beliau memberitahu bapa saudaranya, individu yang menjadi penjaga dan orang terpenting dalam kehidupannya sejak kecil.
“Dia kata, tahniah. Dia tak cakap apa. Dia cakap, ingat Angeline, selepas ini awak kena jaga akhlak. Jaga pakaian awak. Jadi seorang muslimah yang baik,” katanya.
Reaksi tersebut mengejutkan, bahkan menyentuh hati. Bapa saudaranya itu kuat pegangan Buddha. Pernah berpisah tempat tinggal dengan isteri hanya kerana isu berkisar agama.
Sokongan keluarga ibarat rezeki besar yang tidak semua mualaf peroleh. Dalam banyak kes, ahli keluarga menjadi penghalang utama. Namun bagi Angeline, pintu pertama terbuka penuh ihsan.
Sebagai figura awam, penghijrahannya diselubungi spekulasi. Ada mengaitkannya dengan kepentingan tertentu termasuk wang dan status. Namun, beliau menegaskan keputusannya atas dasar kesedaran, bukan dorongan luar.
Angeline juga dikecam menerusi media sosial. Malah, ada menyentuh soal nenek moyangnya. Namun, beliau memilih untuk membuktikan keimanannya melalui akhlak, bukan pertengkaran.
“Ada cakap sebab duit. Apa duit saya dapat? Selama ni saya tak memeluk Islam pun saya kerja, saya cari duit sendiri,” kata pemegang watak Lucy dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu.
Islam di mata Angline bukan gerbang kemewahan, sebaliknya kehidupan penuh disiplin, ilmu dan pengorbanan. Umat Islam harus memahami betapa mualaf memerlukan jawapan, bukan herdikan. Namun, beliau percaya Islam mesra kepada orang baharu seperti dirinya.
“Bila saya bertemu golongan ulama yang betul-betul ulama, saya bertanya kepada mereka. Mereka jawab soalan saya dan beri dalil-dalil dari sudut al-Quran dan sudut akal,” katanya.
Sebagai mualaf pada usia matang, beliau harus bermula dari kosong dan belajar dari peringkat paling asas. Cabaran besar antaranya mempelajari solat termasuk menghafaz surah al-Fatihah.
Beliau juga melatih diri supaya peka kepada waktu khususnya untuk ibadah solat. Pun begitu, sebutan bahasa Arab bukan sesuatu yang mudah untuk mualaf yang tidak terdedah kepada ibadah Islam sejak kecil.
“Saya rasakan macam bayi sebab mula belajar balik. Dan satu kebaikannya, dia membuka satu ruang yang baru untuk kita belajar benda baru,” katanya.
“Hafaz (surah) al-Fatihah, yang hujung-hujung itu, memang susah untuk Angeline, sebab hendak sebut-sebut, kita tak pandai."









