Institusi Raja-Raja Melayu antara mekanisme penting dalam menyatukan masyarakat, menegakkan keadilan dan memastikan syariat Islam dijalankan secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.
Raja-raja Melayu bukan hanya lambang kedaulatan negara tetapi bertanggungjawab dalam memastikan perintah dan ajaran agama dipatuhi semua pihak.
Malah, kewujudan seseorang pemerintah atau raja merupakan sebahagian tuntutan dalam Islam kerana peranan tersebut penting bagi menjamin kestabilan negara dan keharmonian rakyat.
Menurut Pakar Perlembagaan Prof Datuk Shamrahayu Abdul Aziz, raja adalah pemerintah sesebuah negara mengikut konteks Islam sekalipun Malaysia mengamal sistem demokrasi berperlembagaan.
“Pada peringkat persekutuan, Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua negara. Maknanya, fungsi dan peranan Baginda itu lebih tinggi dari pemain-pemain demokrasi ataupun dipilih sebagai pemimpin dari konteks demokrasi ini.
"Dalam konteks Islam, seorang pemimpin mempunyai tanggungjawab sepenuhnya kepada orang yang dipimpin. Pada masa sama, pemerintah juga memikul amanah besar untuk memastikan syariat Allah ditegakkan dalam pelbagai dimensi kehidupan termasuk undang-undang, sosial, politik dan ekonomi," katanya kepada Media Selangor.

Meskipun Malaysia sebuah negara berbilang kaum, institusi raja tetap berfungsi. Ini kerana Islam, yang diketuai Yang di-Pertuan Agong, ada panduan jelas berkaitan prinsip keadilan.
“Tidak kira sejauh mana bentuk pluralistik dan kepelbagaian itu, Islam juga telah bersedia dengan prinsip mengambil kira pandangan semua pihak.
"Islam memang bersedia dalam bentuk apa jua keadaan, perbezaan masyarakat sejauh mana sekali pun, pemerintahan seorang raja itu mesti berlaku adil,” kata Shamrahayu lagi.
Beliau juga menegaskan konsep musyawarah atau perbincangan bersama antara elemen penting dalam pentadbiran negara kerana amalan tersebut menyediakan ruang untuk semak dan imbang.
Kepintaran Rasulullah SAW yang menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar selain membentuk kesepakatan antara umat Islam dan golongan bukan Islam di Madinah menjadi bukti kukuh.
“Peristiwa itu membuktikan raja membentuk pemerintahan untuk memastikan perpaduan dalam kalangan rakyat yang terdiri dari pelbagai latar belakang,” kata pakar perlembagaan itu.
Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong setiap lima tahun yang diamal di negara ini pula mencerminkan semangat permuafakatan tinggi dalam kalangan Raja-Raja Melayu sejak merdeka.
Proses itu bukan hanya tatacara rasmi, sebaliknya ia lambang kepercayaan antara Institusi Diraja pada peringkat negeri. Persetujuan berasaskan kekananan menjadi asas tidak rasmi yang diterima pakai dalam amalan pemilihan tersebut hingga ke saat ini.
“Perpaduan dalam kalangan Raja-Raja Melayu itu jangan kita pandang sebelah mata. Sebabnya bukan mudah untuk seorang raja, mempercayai seorang raja lain untuk mentadbir dan menjaga kedaulatan sebuah persekutuan ini.
“Jadi, ia bukan satu perkara yang mudah untuk dipersetujui oleh raja-raja. Namun, atas dasar permuafakatan yang ada pada Institusi Diraja pada peringkat negeri membolehkan tertubuhnya Institusi Beraja pada peringkat persekutuan.
“Dalam undang-undang perlembagaan juga kita melihat bahawa raja-raja di negeri-negeri boleh memberi kepercayaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyampaikan atau menyatupadukan apa-apa keputusan pada peringkat persekutuan,” katanya.
Pembentukan jawatan Yang di-Pertuan Agong itu juga sebenarnya lahir lantaran keperluan bagi memastikan setiap wilayah dalam persekutuan berada bawah naungan Institusi Diraja.
“Apabila raja-raja di negeri-negeri Melayu ini bersetuju untuk membina persekutuan, maka difikirkan bahawa ia memerlukan seorang raja untuk memastikan tiada tanah di Tanah Melayu ini tidak diperintah oleh Raja.
“Maksudnya, raja-raja ini bersedia untuk menerima keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk mewakilkannya ataupun untuk memastikan satu amalan itu diterima keseluruhan Malaysia," kata Shamrahayu.
Langkah berkenan bertujuan memastikan kedudukan agama Islam di negara ini terus terpelihara khususnya di negeri-negeri yang tidak memiliki raja seperti Melaka dan Pulau Pinang.
"Pembentukan Malaysia melibatkan Sabah dan Sarawak, tiada Institusi Diraja di negeri-negeri itu. Maka, wakilnya dilantik oleh raja iaitu Yang Dipertua Negeri. Ini memastikan agama Islam walaupun ne-geri tidak beraja, ada rajanya, ada ketua agamanya,” katanya lagi.

Bukan simbol semata-mata
Justeru, institusi raja bukan sekadar simbol. Sebarang tanggapan sedemikian seolah-olah memberi gambaran bahawa Raja-Raja Melayu tidak memiliki kuasa atau peranan hakiki. Pandangan tersebut tidak tepat.
Sebaliknya, Shamrahayu percaya tafsiran itu disalah erti sesetengah pihak yang mungkin menyamakan sistem beraja di Malaysia dengan sistem Westminster di United Kingdom.
Beliau menegaskan Institusi Diraja di Malaysia memiliki kuasa budi bicara yang bersifat penting. Ini termasuklah melantik perdana menteri, membubar Dewan Rakyat dan memanggil Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.
“Simbol sering diibarat seperti patung, tiada mata untuk melihat, tiada telinga untuk mendengar dan tiada mulut untuk bercakap atau bertitah walaupun Yang di-Pertuan Agong dikatakan sebagai simbol perpaduan rakyat.
"Konsep raja berpelembagaan di negara kita adalah sistem beraja yang mempunyai kuasa sama ada bertindak atas nasihat, ia telah ditetapkan oleh perlembagaan.
"Institusi Beraja ini mempunyai kuasa budi bicara yang berterusan dari dahulu sampai sekarang," kata pensyarah di Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.
Malah, sejarah dan pembentukan Institusi Beraja di kedua-dua negara berkenaan jauh berbeza. Institusi raja di negara ini, meskipun dilabel raja berpelembagaan, mempunyai hak ataupun tanggungjawab untuk memperingat kerajaan supaya memastikan keadilan sentiasa dijalankan.
"Kuasa yang asalnya ada pada raja itu telah diserah dengan syarat iaitu ia dilaksanakan oleh para pemain demokrasi, dengan hati-hati, dengan mengambil kira kedudukan institusi raja-raja.
“Hakikatnya, raja merupakan pancuran keadilan kepada rakyat. Bagindalah yang memberi pancuran keadilan itu jika kerajaan dilihat tidak memberi kebajikan kepada seluruh rakyat," katanya.
Konsep raja berperlembagaan yang digubal Suruhanjaya Reid pada 1957 adalah gabungan antara tradisi warisan Melayu dan prinsip moden perlembagaan. Berdasarkan perenggan 58 laporan suruhanjaya itu juga menyatakan raja berperlembagaan ada ruang menyuarakan pandangan kepada kerajaan.
“Di Britian juga ada penulisan-penulisan yang agak lama menyatakan bahawa walaupun kita mempunyai raja berpelembagaan tetapi raja berperlembagaan itu mempunyai peranan tertentu.
Namun, ia bukan pula bermakna kuasa Raja-Raja Melayu semakin bertambah. Sebaliknya, pindaan perlembagaan sejak merdeka pada 1957 hingga kini lebih banyak melibatkan pengurangan berbanding penambahan kuasa.
Beberapa mekanisme lama juga berubah termasuk peranan tertentu dalam proses perundangan. Shamrahayu memberi contoh, kuasa Yang di-Pertuan Agong hanya menurunkan cop mohor tetapi kuasa penetapan tarikh kuat kuasa undang-undang yang diluluskan di parlimen telah tiada.
Justeru, beliau berpandangan sebarang reformasi institusi perlu dilakukan secara berhati-hati tanpa menjejaskan peranan asas Raja-Raja Melayu dalam perlembagaan.
Untuk membentuk kefahaman terhadap Institusi Diraja dan sistem demokrasi di Malaysia, penghayatan terhadap intipati Rukun Negara memainkan peranan penting. Ia bukan sekadar slogan tetapi asas pembinaan negara bangsa. Prinsip pertama dan kedua iaitu Kepercayaan kepada Tuhan serta Kesetiaan kepada Raja dan Negara perlu difahami secara seimbang dalam sistem demokrasi.
"Berbeza bagaimanapun masyarakat dalam konteks berdemokrasi tetapi hendaklah taat setia kepada raja. Rukun Negara telah menyatakan sejauh mana tahap demokrasi dalam konteks parti politik ini, prinsip taat setia kepada raja itu tidak boleh dikompromi," katanya.
"Walaupun parti-parti politik termasuk gabungan yang berbeza-beza, ada setiap parti mempunyai perlembagaan tertentu dan sendiri. Namun, setiap parti politik itu perlu menjunjung dan membina naratif kesetiaan kepada raja dan negara.”
Sebaik-baiknya, pemimpin politik membina hubungan harmoni dengan Institusi Diraja. Keakraban itu penting memandangkan Raja-Raja Melayu berperanan dalam menentukan pembentukan kerajaan selain menangani isu antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Batas kuasa Institusi Diraja dan pentadbiran dalam sistem demokrasi pula banyak ditentukan dari sejauh mana pemimpin politik berupaya menjaga kebajikan masyarakat.
Rakyat hanya ada dua saluran untuk mendapat perlindungan apabila dilanda musibah iaitu pemimpin demokrasi atau Institusi Diraja.
“Apabila tiada lagi tempat untuk bergantung akibat dianiaya, rakyat akan mengetuk pintu istana untuk mendapatkan pembelaan,” kata Shamrahayu.
Seperti kuasa Institusi Diraja yang ada batasan, kuasa pemimpin demokrasi juga tertakluk kepada had tertentu dalam perlembagaan. Sebagaimana raja tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran negara, begitu juga pemimpin politik.
“Mesti ada kompromi antara kedua-dua pihak. Hubungan batasan ini mungkin tidak ditulis secara nyata dalam undang-undang, tetapi ia memerlukan hubungan interpersonal yang baik antara pemimpin demokrasi dan Institusi Diraja,” katanya.
Selain itu, beliau juga berpendapat institusi raja perlu bijak menyesuaikan diri dengan perubahan zaman termasuk arus globalisasi dan perubahan sikap generasi baharu.
Keseimbangan antara tradisi dan badai kemodenan sangat penting, bahkan ia kunci untuk memastikan Institusi Diraja kekal relevan dalam landskap politik dan sosial masa kini.
Dengan merujuk situasi negara ketika pandemik Covid-19 dan ketidakstabilan politik tanah air, beliau menegaskan kepintaran Institusi Diraja penting dalam memainkan peranan berbentuk penyatuan.
“Semasa dunia dilanda Covid-19, negara kita pada masa sama digoncang dengan ketidakstabilan politik. Pertukaran kerajaan berlaku tanpa pilihan raya, ini memerlukan kebijaksanaan Institusi Diraja.
“Bagaimana institusi ini menangani cabaran-cabaran ataupun gelombang-gelombang yang bukan kecil kepada negara yang mengancam kesihatan masyarakat, kedudukan ekonomi negara,” katanya.
Kewibawaan institusi raja juga dapat mengelak daripada tercetusnya isu penghinaan. Situasi berkenaan secara tidak langsung memberi petanda ada kalangan rakyat yang tidak setia.
Selain itu, kurang kefahaman mengenai kedudukan institusi raja dalam kerangka undang-undang juga antara punca. Segelintir pihak gagal memahami kedudukan sebenar institusi itu yang diiktiraf dan dilindungi undang-undang.
“Jika generasi sekarang atau generasi lama sekalipun tidak dapat menerima kedudukan raja dari sudut konteks sosial dan budaya, mereka perlu ingat bahawa undang-undang tetap mengiktiraf kedudukan Institusi Beraja.
“Kalau seseorang itu benar-benar setia, dia tidak akan menghina raja. Maka penghinaan itu menjadi petunjuk bahawa institusi raja sedang berhadapan cabaran dalam bentuk penghormatan masyarakat,” katanya.







