Khairul Aming, Angeline Tan terima Anugerah Maulidur Rasul 2025

5 Sep 2025, 4:42 AM
Khairul Aming, Angeline Tan terima Anugerah Maulidur Rasul 2025

SERDANG, 5 SEPT: Usahawan dan pempengaruh media sosial Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai “Khairul Aming”, tidak menyangka dirinya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul kategori Usahawan/Teknokrat Berjaya 2025.

Beliau berkata pengiktirafan itu amat mengejutkan, kerana tidak pernah menjangkakan tersenarai bersama-sama tokoh hebat lain pada sambutan kali ini.

Khairul Aming mendedikasikan anugerah tersebut kepada para usahawan kecil yang berusaha mencari rezeki halal biarpun berdepan pelbagai cabaran.

“Saya dedikasikan anugerah ini kepada semua usahawan di luar sana, terutamanya kepada peniaga-peniaga kecil yang baru belajar berniaga, berniaga di tengah-tengah panas, di tengah-tengah hujan. Itu semua sebahagian daripada usaha mereka mencari rezeki yang halal. Jadi anugerah ni saya tujukan pada mereka,” katanya kepada pemberita.

Beliau menegaskan kejayaan dalam perniagaan bukan sahaja diukur daripada keuntungan, tetapi juga melalui keberkatan dan hubungan baik dengan pelanggan.

Khairul Aming turut menekankan komitmennya untuk menggunakan platform media sosial sebagai medium memperkenalkan produk usahawan kecil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar (tengah) mengetuai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 1447H/2025M di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), pada 5 September 2025. Foto BERNAMA

Sementara itu pelakon terkenal Ardini Angeline Tan (Angeline Tan) yang menerima Anugerah Maulidur Rasul kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf) 2025, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai simbol kekuatan dalam perjalanan hidupnya selepas memeluk Islam.

Beliau berkata anugerah itu menjadi semangat baharu untuknya terus menyampaikan mesej Islam yang sebenar, selain menzahirkan penghargaan kepada keluarga dan insan yang banyak mendoakannya.

“Angeline rasa syukur alhamdulillah, sangat terharu dan macam tak percaya, Angeline yang sangat kecil ini diberi satu anugerah yang sangat besar dan bermakna pada hari yang sangat mulia ini.

“Sejak Angeline memeluk Islam, Angeline pernah kata saya bertekad saya nak sebarkan ataupun menyampaikan erti Islam yang betul kepada bukan-muslim,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis memperingati kelahiran Rasulullah SAW yang bertemakan “Membangun Ummah MADANI” itu.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

His Majesty Sultan Ibrahim, the King of Malaysia (centre) and Her Majesty Raja Zarith Sofiah, the Queen of Malaysia (right), attend the national-level 1447H/2025M Maulidur Rasul celebration at the Malaysia Agricultural Exposition Park in Serdang, on September 5, 2025.

Terdahulu, Mohd Na’im melepaskan dan mengetuai perarakan kontinjen sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2025/1447H yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.

Seramai 6,104 peserta dengan 119 kontinjen menyertai perarakan sambutan sejauh 1.1 kilometer bermula dari kawasan parkir utama menuju ke Dewan A MAEPS.