SHAH ALAM, 7 MAC: Seorang anggota tentera maut selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Lendu, Kampung Lendu, Alor Gajah, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul jam 10 pagi itu, mangsa lelaki Melayu berusia 25 tahun yang memandu Perodua Myvi tersepit di bahagian tempat duduk pemandu selepas kenderaannya bertembung dengan lori berkenaan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.10 pagi.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah bergegas ke lokasi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Myvi dengan sebuah lori jenis Hino 10 tan.
“Didapati, seorang tentera lelaki berusia 25 tahun tersepit di bahagian pemandu kereta berkenaan sebelum operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan lelaki tersebut telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.06 pagi,” katanya.









