Bapa maut, anak parah MPV terbabas rempuh besi penghadang

29 Mac 2026, 7:46 AM
Bapa maut, anak parah MPV terbabas rempuh besi penghadang

SHAH ALAM, 29 MAC: Seorang lelaki maut, manakala anak perempuannya berusia lapan tahun cedera parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki terbabas sebelum merempuh besi penghadang di Kilometer 155.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Sufaat Aini, 46, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada kepala dan badan ketika dalam perjalanan ke arah Johor Bahru bersama isteri serta anak mereka.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, kemalangan berlaku apabila MPV dipandu isteri mangsa berusia 41 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang di bahagian kiri lebuh raya.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan mengalami kecederaan serius dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.

“Anak perempuan mangsa yang berada di tempat duduk belakang pula mengalami kecederaan pada badan dan muka sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan nahas ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurhisyam Syafiq Mat Lopa di talian 013-9825324 bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gambir, Mohd Khalid Mohd Aris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.42 petang sebelum enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikerahkan ke lokasi.

“Mangsa yang maut didapati tersepit di tempat duduk penumpang hadapan, manakala pemandu kenderaan terselamat.

“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.