SEPANG, 7 MAC: Seorang pemandu dipercayai menawarkan perkhidmatan kereta sewa secara haram ditahan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata tangkapan dilakukan hasil intipan dan pemantauan oleh Stesen Penguatkuasa KLIA di terminal berkenaan.
Menurutnya, pemandu dan kenderaan jenis Honda BR-V ditahan selepas disyaki menawarkan perkhidmatan kereta sewa tanpa lesen.
“Siasatan awal mendapati suspek memujuk dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada seorang penumpang warga Bangladesh dari Terminal 1 KLIA ke Rawang, Selangor dengan kadar tambang RM100 yang akan dibayar setelah tiba di destinasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kenderaan terbabit turut disita bagi tujuan siasatan lanjut.
Azrin memaklumkan individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).
Menurutnya, kesalahan itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tambahnya, pihak yang bersubahat dalam aktiviti kereta sewa haram boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta sama, lapor Harian Metro.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter rasmi di Terminal 1 dan 2 KLIA atau membuat tempahan menerusi aplikasi e-hailing.








