SHAH ALAM, 21 JAN: Seorang pemandu kereta sewa haram atau ‘ulat’ ditahan manakala kenderaannya disita dalam operasi penguatkuasaan JPJ di Terminal 1 KLIA.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor memaklumkan pemandu yang menggunakan sebuah Perodua Axia itu ditahan selepas menawarkan perkhidmatan kepada penumpang warganegara Malaysia dari Terminal 1 KLIA ke Kuala Lumpur.
"Tambang yang dikenakan ialah sebanyak RM100 dan akan dibayar apabila sampai ke destinasi," menurut JPJ Selangor di Facebook.
JPJ menjelaskan, individu yang terlibat dalam aktiviti ini boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).
"Hukuman termasuk denda sehingga RM50,000, penjara sehingga lima (5) tahun, atau kedua-duanya. Mereka yang bersubahat juga boleh didakwa di bawah Seksyen 243(1) Akta yang sama," jelas JPJ.
Agensi itu menasihatkan orang awam supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter rasmi di Terminal 1 dan 2 KLIA atau aplikasi e-hailing berdaftar.
Bagi sebarang aduan, orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada aduantrafik@jpj.gov.my
atau melalui platform e-aduan@JPJ, lengkap dengan butiran pengadu dan maklumat aduan.


