Hospital wakaf pertama negara dibina di Kajang bernilai RM270 juta

7 Mac 2026, 4:37 AM
Hospital wakaf pertama negara dibina di Kajang bernilai RM270 juta

SHAH ALAM, 7 MAC: Hospital wakaf pertama bernilai RM270 juta bakal dibangunkan di Kajang, Selangor sebagai usaha memperluaskan manfaat wakaf kepada masyarakat melalui pembangunan infrastruktur kesihatan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata majlis pecah tanah bagi projek berkenaan sudah dilaksanakan dan kerja pembinaan dijangka bermula dalam masa terdekat.

Menurutnya, projek hospital tersebut merupakan inisiatif memperluaskan peranan wakaf yang sebelum ini lebih sinonim dengan sumbangan kebajikan.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha memperluaskan manfaat wakaf kepada masyarakat, bukan sahaja melalui sumbangan kebajikan tetapi juga pembangunan infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Singgah Sahur di sekitar DUN Pantai Kundor dan Hotel Puteri Bay di Melaka hari ini, lapor Sinar Harian.

Tambah Marhamah, projek hospital wakaf berkenaan dijangka dimulakan selepas Ramadan ini selepas semua persiapan awal termasuk majlis pecah tanah selesai dilaksanakan.

“Hospital wakaf ini kita baharu nak mulakan. Kita sudah selesai pecah tanah dan Insya-Allah selepas Ramadan projek hospital wakaf pertama negara ini akan dimulakan,” katanya.

Marhamah turut memaklumkan selain hospital berkenaan, empat hotel wakaf telah dibangunkan di beberapa negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu.

“Kewujudan projek ini menjadi contoh bahawa dana wakaf boleh dimanfaatkan untuk pembangunan yang memberi pulangan kepada masyarakat,” katanya sambil menambah hasrat agar lebih banyak negeri membangunkan projek seperti hotel wakaf dan hospital wakaf.

Beliau turut memaklumkan kutipan wakaf di Malaysia meningkat kira-kira 10 peratus tahun lalu dengan sumbangan tertinggi direkodkan di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sasaran kutipan wakaf sebanyak RM1 juta ditetapkan sepanjang Ramadan ini.

Ujarnya, kemudahan untuk berwakaf kini dipermudahkan melalui Sistem Wakaf Tunai Malaysia (SWTM) dan aplikasi Wakaf yang dilancarkan sempena Bulan Wakaf Kebangsaan pada 1 Ramadan lalu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.