SHAH ALAM, 6 MAC: Selangor mencatatkan pelaburan sebanyak RM83.9 bilion pada 2025, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kekuatan ekonomi serta ekosistem perniagaan negeri itu.
EXCO Pelaburan, Ng Sze Han berkata Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada pelaburan berkualiti yang mampu menjana kesan limpahan kepada ekonomi tempatan serta memberi manfaat jangka panjang.
“Keutamaan kami bukan sekadar mengejar angka pelaburan, sebaliknya menarik pelaburan yang memberi impak sebenar dan berkekalan.
“Kami mahu projek yang mampu menjana kesan limpahan kepada ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi, memperkukuh ekosistem industri serta memacu inovasi dan pemindahan teknologi.
“Paling penting, kami mengalu-alukan rakan pelabur yang komited untuk berkembang bersama Selangor dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sze Han turut merakamkan penghargaan kepada agensi utama yang menyokong ekosistem pelaburan negeri termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Selangor Berhad dan Perbadanan Teknologi, Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).
Menurutnya, usaha berterusan agensi berkenaan membantu mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai antara destinasi pelaburan utama di negara ini.
Kerajaan Negeri juga akan terus bekerjasama dengan agensi persekutuan dan negeri bagi memperkukuh ekosistem pelaburan serta merangsang pertumbuhan ekonomi Selangor.
Menurut Laporan Prestasi Pelaburan Malaysia 2025 yang diterbitkan MIDA hari ini, Malaysia merekodkan RM285.2 bilion pelaburan diluluskan bagi sembilan bulan pertama 2025, meningkat 13.2 peratus berbanding tempoh sama pada 2024.
Sektor perkhidmatan mencatatkan nilai pelaburan tertinggi sebanyak RM187.9 bilion (65.9 peratus) diikuti sektor pembuatan RM93.8 bilion (32.9 peratus) dan sektor utama RM3.5 bilion (1.2 peratus).
Dalam tempoh sama, Johor merekodkan pelaburan diluluskan tertinggi sebanyak RM91.1 bilion, diikuti Selangor (RM51.9 bilion), Kuala Lumpur (RM45.9 bilion), Pulau Pinang (RM23.7 bilion) dan Kedah (RM17.5 bilion).









