SHAH ALAM, 12 FEB: Selangor mencatat pelaburan sebanyak RM51 bilion setakat September 2025 dan menyasarkan pencapaian lebih kukuh tahun ini melalui pelbagai insentif serta langkah sokongan kepada pelabur tempatan dan asing.
EXCO Pelaburan, Ng Sze Han berkata prospek ekonomi Malaysia bagi 2026 kekal stabil, dengan prestasi nilai ringgit dan pasaran saham menjadi antara petunjuk utama keadaan ekonomi berada di landasan yang betul.
“Jika dibandingkan dengan negara lain di rantau ini, pergerakan mata wang dan pasaran saham kita menunjukkan ekonomi berada di landasan yang positif. Sumbangan Selangor kepada ekonomi negara juga signifikan dan kebanyakan petunjuk utama mencapai sasaran tahun lalu,” katanya dalam satu temu bual sempena sambutan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.
Menurut beliau, daripada jumlah pelaburan RM51 bilion yang direkodkan setakat September 2025, kira-kira 55 peratus merupakan pelaburan domestik, mencerminkan keberkesanan pelbagai langkah sokongan dan insentif Kerajaan Negeri terhadap syarikat tempatan.
“Sehubungan itu, pada tahun ini Kerajaan Negeri akan meneruskan pendekatan sama. Selain menarik pelaburan asing bernilai tinggi dan berpotensi besar, kami juga akan terus menyokong syarikat tempatan untuk mengembangkan perniagaan di dalam dan luar negara,” katanya.
Galak perniagaan pegang prinsip ‘kebenaran dan keuntungan’
Mengulas cabaran global semasa, Sze Han menekankan kepentingan komuniti perniagaan di Selangor berpegang kepada prinsip ‘kebenaran dan keuntungan’ bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dan seimbang.

“Pada masa kini, banyak syarikat mengamalkan piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Ini bermakna selain mengejar keuntungan, perniagaan juga perlu melaksanakan tanggungjawab sosial dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata pelaburan berskala besar mungkin tidak memberi kesan segera kepada masyarakat, namun mampu menjana manfaat ekonomi jangka panjang, termasuk peningkatan peluang pekerjaan dan kuasa beli penduduk setempat.
"Sebagai contoh, pembangunan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (Integrated Circuit Design Park – ICC) di Puchong telah mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta merancakkan aktiviti perniagaan di kawasan sekitar," katanya.
Pada masa sama, Sze Han menegaskan pelaburan asing perlu mengintegrasikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam rantaian bekalan mereka.
Menurutnya, Kerajaan Negeri terus menggalakkan syarikat besar melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan menggunakan perkhidmatan tempatan seperti katering, pembersihan dan perkhidmatan sokongan asas.
“Pendekatan ini membantu merangsang ekonomi setempat dan memastikan manfaat pelaburan dapat dirasai secara lebih menyeluruh oleh masyarakat,” katanya.



