Mangsa air pasang besar syukur terima bantuan tunai, tampung keperluan Aidilfitri

6 Mac 2026, 12:30 AM
Mangsa air pasang besar syukur terima bantuan tunai, tampung keperluan Aidilfitri
Mangsa air pasang besar syukur terima bantuan tunai, tampung keperluan Aidilfitri
Mangsa air pasang besar syukur terima bantuan tunai, tampung keperluan Aidilfitri

SABAK BERNAM, 5 MAC: Bantuan RM500 yang disalurkan Kerajaan Negeri kepada mangsa fenomena air pasang besar Monsun Timur Laut sedikit sebanyak membantu meringankan beban penduduk yang terjejas.

Penduduk Kampung Belia, Fazil Abdul Razak, 63, berkata sumbangan itu amat bermakna terutama bagi menampung keperluan harian selain membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, kerosakan akibat banjir yang melanda kawasan berkenaan sebelum ini agak besar, namun bantuan diterima dapat mengurangkan sedikit kesulitan yang dihadapi.

“Saya bersyukur kerana bantuan ini dapat membantu kami sekeluarga. Memang kerosakan akibat banjir agak besar, tetapi Alhamdulillah ia dapat melegakan sedikit beban,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan (BWI) di Kompleks Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam di sini, semalam.

Fazil Abdul Razak

Pesara itu berkata rumahnya dimasuki air selepas hujan lebat dan air pasang besar sehingga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara di Dewan Haji Dorani selama lima hari.

“Sebaik saja pulang, kami perlu pula membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur. Ketika itu memang sedih melihat keadaan rumah.

“Banyak barang dalam rumah tenggelam air termasuk perabot dan peralatan kerja, lepas air surut kami ambil masa hampir seminggu untuk bersihkan rumah,” katanya.

Tormoji Sairi

Seorang lagi penerima bantuan, pekebun, Tormoji Sairi, 75, berkata sumbangan itu amat dihargai kerana dapat membantu menampung perbelanjaan rumah.

“Bagi saya, saya ucap terima kasih dan Alhamdulillah. Saya tak jangka akan dipanggil untuk menerima bantuan ini,” katanya.

Penduduk Kampung Belia 2 itu berkata rumahnya turut dinaiki air banjir setinggi paras lutut sehingga menyebabkan beberapa barangan rumah rosak.

Menurutnya, bantuan diterima akan digunakan untuk keperluan rumah serta persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kejadian air pasang besar dan angin ribut pada November 2025 menyebabkan beberapa kawasan pesisir pantai di daerah Sabak Bernam dilanda banjir termasuk Sekinchan, Parit Lima, Sungai Besar dan Sungai Air Tawar.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.