SHAH ALAM, 18 FEB: Banjir yang menjejaskan 50 kediaman di daerah Klang susulan hujan lebat pada 16 Februari lalu dilaporkan surut sepenuhnya sejak semalam.
Pegawai Daerah Klang, Amri Ismail berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan kerosakan harta benda akibat kejadian tersebut.
“Hanya satu aduan awam diterima melibatkan kerosakan permukaan jalan di Jalan Bukit Payung, Kampung Bukit Kapar,” katanya ketika dihubungi Media Selangor hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk supaya terus berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang dijangka berlarutan sehingga 20 Februari ini.
Beliau turut memaklumkan mangsa yang terkesan boleh memohon bantuan bencana melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, pusat khidmat masyarakat atau agensi berkaitan sekiranya memerlukan.

Sebelum ini, sebanyak 50 kediaman dan premis di daerah Klang terjejas akibat hujan berterusan sejak malam 16 Februari lalu.
Antara kawasan yang dinaiki air termasuk Taman Rashna, kawasan perindustrian Sungai Rasau, Taman Mutiara, Bukit Raja dan Jalan Meru, Batu 3.
Fenomena air pasang besar berpotensi menyebabkan limpahan air laut ke kawasan daratan serta meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah.



