Fenomena air pasang besar, 14 lokasi di Klang berisiko banjir

18 Feb 2026, 8:00 AM
Fenomena air pasang besar, 14 lokasi di Klang berisiko banjir

SHAH ALAM, 19 FEB: Sebanyak 14 lokasi di daerah Klang dikenal pasti berisiko dilanda banjir susulan fenomena air pasang besar yang dijangka berlarutan sehingga 20 Februari ini.

Pegawai Daerah Klang, Amri Ismail berkata kawasan terlibat meliputi beberapa penempatan di Klang Utara, Klang Selatan serta Pulau Indah.

Menurutnya, antara kawasan berisiko di Klang Utara ialah Kampung Tok Muda, Ban Kampung Sungai Serdang, Kampung Perepat, Kampung Sementa, Kampung Batu 4 dan Jalan Harper.

"Bagi Klang Selatan pula melibatkan Pelabuhan Klang di Taman Kem, Terminal Jeti Pulau Ketam, Taman Teluk Gedung Indah, Taman Selat Damai dan Kawasan Perindustrian Pandamaran.

“Dua kawasan lain ialah Pulau Indah iaitu Kampung Sungai Kembong dan Kampung Sungai Pinang, juga mungkin terjejas ialah kawasan Telok Gong," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Pegawai Daerah Klang, Amri Ismail. Foto Facebook DOSM Selangor

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif bagi mengelak kejadian banjir pantai akibat fenomena air pasang besar di daerah Klang.

Fenomena air pasang besar berpotensi menyebabkan limpahan air laut ke kawasan daratan serta meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah.

Sehubungan itu, Pusat Hidrografi Nasional menasihatkan penduduk yang tinggal di pesisir pantai supaya sentiasa berwaspada, memantau perubahan paras air laut dan mengikuti maklumat rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan.

Beberapa kawasan di daerah Klang yang dinaiki air susulan hujan lebat pada 16 Februari lalu dilaporkan surut sepenuhnya sejak semalam.

Berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2026, paras air laut di Stesen Pelabuhan Klang dijangka mencecah antara 4.8 hingga 5.23 meter sepanjang tempoh berkenaan, dengan bacaan tertinggi diramal pada 19 Februari.

Dalam pada itu, Amri turut menasihatkan penduduk agar sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau menambah, penduduk yang terjejas boleh memohon bantuan bencana daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pusat khidmat masyarakat atau agensi berkaitan.