Penunggang motosikal maut dilanggar treler di SUKE

5 Mac 2026, 10:49 AM
Penunggang motosikal maut dilanggar treler di SUKE

SHAH ALAM, 5 MAC: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah lagi motosikal sebelum dirempuh lori treler di Kilometer 1.2 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata kemalangan kira kira jam 9.30 pagi itu berlaku di laluan dari arah Desa Tun Razak menghala ke Sri Petaling, lapor Berita harian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha MT-15 melanggar bahagian belakang sebuah motosikal Honda Dash 125 yang berada di lorong kiri dan datang dari arah sama.

"Akibat pelanggaran berkenaan, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh ke lorong tengah lebuh raya.

"Sebuah lori treler yang datang dari arah sama gagal mengelak lalu melanggar mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa cedara parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

"Penunggang motosikal kedua serta pemandu lori treler tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Mohd Zamzuri berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi bagi membantu siasatan.

Beliau turut meminta orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 0320719999 atau mana mana balai polis berhampiran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.