SHAH ALAM, 5 MAC: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM3 juta daripada syarikat korporat, Pintas Utama Sdn Bhd.
Penyerahan disempurnakan Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Ir Zainudin Karjan, pada Majlis Berbuka Puasa Raja Muda Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1447H di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya, semalam.
Zainudin berkata pembayaran zakat itu mencerminkan komitmen syarikat dalam menunaikan kewajipan agama serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi umat Islam, khususnya di Selangor.
“Sebagai umat Islam, kita percaya dalam setiap rezeki yang dikurniakan terdapat hak mereka yang memerlukan.
“Justeru, pembayaran zakat ini bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, malah tanggungjawab sosial korporat bagi membantu memperkukuh kesejahteraan masyarakat dan pembangunan ummah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Menurutnya, Pintas Utama akan terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan pada masa hadapan sebagai sebahagian usaha memberi impak positif kepada masyarakat.
Zakat yang diserahkan itu akan disalurkan kepada golongan asnaf melalui institusi zakat Selangor bagi membantu meningkatkan taraf hidup mereka, meliputi aspek kebajikan, pendidikan, kesihatan serta pembangunan ekonomi.
Pada majlis sama, Tengku Amir Shah turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada golongan asnaf selain menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah bersama rakyat.








