SEPANG, 4 MAC: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan mewakili Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berangkat ke majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya di sini, hari ini.
Tengku Amir Shah turut berkenan menyampaikan sumbangan raya berjumlah RM268,500 kepada 537 asnaf, meliputi 338 fakir, 45 miskin dan 154 mualaf dengan masing-masing menerima sumbangan RM500.
Pada majlis itu, Baginda berkenan menerima serahan zakat perniagaan daripada lima badan korporat dan institusi pengajian tinggi (IPT) dengan jumlah terkumpul RM9,837,200.
Badan korporat dan IPT terlibat adalah Pintas Utama Sdn Bhd (RM3 juta), Malaysia Airports Holdings Berhad (RM2.4 juta), Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (RM1.11 juta), Lembaga Jurukur Tanah (RM1 juta), Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (RM1 juta) dan MAHSA Universiti (RM1.32 juta).
Pada majlis sama, Baginda juga menerima serahan Cek Cura Wakaf Korporat daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) masing-masing berjumlah RM50,000.
Baginda kemudian menyempurnakan serahan wakaf klinik bergerak (Mobile Eye Care) bernilai RM419,000 daripada Wakaf Selangor Muamalat kepada MSU Universiti.
Turut diserahkan, sumbangan biasiswa dan pembiayaan pendidikan anak kariah Masjid Raja Haji Fisabilillah daripada Multimedia University dan University of Cyberjaya masing-masing berjumlah RM1.525 juta dan RM518,000.
Selepas santapan berbuka, baginda menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih berjemaah bersama rakyat.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Mufti Selangor Dato’ Setia Dr Anhar Opir.
Pada 22 Jun 2016, Masjid Raja Haji Fisabilillah dimasyhurkan perasmiannya oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Berkeluasan lima ekar, ia mula dibina pada 5 April 2013 dengan kos pembinaan sekitar RM44.3 juta yang dibiayai Cyberview Sdn Bhd. Ia siap sepenuhnya pada 24 Februari 2015 sebelum dibuka kepada umum pada 27 Februari 2015.
Dewan solat utama masjid itu mampu memuatkan sekitar 1,300 jemaah, manakala ruang solat tambahan yang luas membolehkan kapasiti penuh sehingga 8,300 jemaah.












