Selangor hubungi Wisma Putra, kenal pasti rakyat negeri ini terkandas di Arab Saudi

4 Mac 2026, 9:29 AM
Selangor hubungi Wisma Putra, kenal pasti rakyat negeri ini terkandas di Arab Saudi

SHAH ALAM, 4 MAC: Kerajaan Selangor sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada Wisma Putra mengenai jumlah rakyat negeri ini yang terkesan atau terkandas di Arab Saudi susulan pergolakan di Timur Tengah.

Dato’ Menteri Besar berkata pengenalpastian identiti penting bagi membolehkan Kerajaan Negeri merangka langkah susulan, terutama apabila kos penginapan dan pengangkutan di Mekah serta Madinah dijangka melonjak menjelang penghujung Ramadan.

“Kita sedang menghubungi serta mengutus surat kepada pihak kedutaan dan konsulat bagi memperoleh senarai lengkap warga Selangor

“Dalam mendepani krisis yang mungkin berlarutan bagi tempoh satu ke dua bulan lagi, aspek keselamatan jauh lebih kritikal berbanding isu kewangan atau persediaan logistik, memandangkan tiada ketetapan muktamad boleh dibuat ketika ini berkaitan proses penghantaran pulang melalui penerbangan komersial,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan Baucar Jom Shopping Perayaan Aidilfitri di Lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sejurus selesai Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negeri (MTES), di sini hari ini.

Amirudin turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah dan pegawai di Wisma Putra atas bantuan pantas menyediakan perlindungan sementara kepada 12 individu, termasuk tujuh pelajar Selangor yang terkandas di Arab Saudi.

“Inisiatif menempatkan mereka di bangunan konsulat tersebut berjaya mengurangkan beban kos yang tinggi sementara menunggu kumpulan tersebut memulakan perjalanan pulang ke Jordan melalui jalan darat menggunakan bas, yang dijangka mengambil masa selama 24 jam,” katanya.

Bagi memastikan kebajikan rakyat Selangor sentiasa terpelihara, Amirudin memaklumkan pihaknya turut memantau keadaan melalui dua EXCO Kerajaan Negeri iaitu Anfaal Saari dan Datuk Rizam Ismail yang sedang menunaikan umrah di Mekah.

“Kita akan sentiasa berhubung dengan kedua-dua EXCO tersebut bagi mendapatkan perkembangan terkini dan bersedia menyalurkan sokongan tambahan sekiranya diperlukan oleh rakyat negeri ini yang berada di sana,” katanya.

Hari ini, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia supaya bersedia menghadapi kemungkinan gangguan perjalanan termasuk penutupan ruang udara dan perubahan jadual penerbangan susulan situasi keselamatan semasa di beberapa negara, susulan serangan berterusan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.

Dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, Wisma Putra turut menggesa rakyat Malaysia sentiasa berwaspada, mengelakkan kawasan operasi ketenteraan dan perhimpunan awam serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

Pada awal pagi 28 Februari lepas, Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan udara terhadap sasaran di Iran.

Iran kemudian bertindak balas menyasarkan pangkalan tentera dan kemudahan logistik Amerika Syarikat di beberapa negara Arab, menyebabkan sekatan ruang udara meluas di seluruh rantau itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.