Muhasabah diri, reda terima takdir Allah SWT (VIDEO)

4 Mac 2026, 12:01 PM
Muhasabah diri, reda terima takdir Allah SWT (VIDEO)
Muhasabah diri, reda terima takdir Allah SWT (VIDEO)

SHAH ALAM, 4 MAC: Manusia diingatkan supaya sentiasa reda dan berlapang dada menerima takdir hidup meskipun ia tidak seiring dengan kemahuan sendiri, kata timbalan mufti Pahang.

Dato’ Dr Badli Shah Alauddin berkata ayat 14 Surah al-Mulk menjelaskan segala yang berlaku terhadap diri kita berada dalam kedudukan dan pengetahuan Allah SWT, maka tiada apa yang perlu dipersoalkan.

Menurutnya, ayat itu juga mengajar manusia untuk reda menanam rasa syukur dan bersabar sekiranya ditimpa musibah malah perlu melihat hikmah sebalik yang berlaku.

“Setiap apa ditakdirkan, Dia mengetahuinya dan ada kebaikan untuk kita. Jangan persoalkan takdir sebaliknya lihat hikmah besar sesuatu perkara yang berlaku. Apa juga Tuhan tentukan, berlapang dada, reda, sabar.

Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Dr Badli Shah Alauddin menghuraikan kandungan dan ayat Surah al-Mulk dalam progam tadabbur al-Quran 30 hari 30 ayat bersama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Terima apa juga ditentukan Allah SWT setelah kita buat yang terbaik. Kalau Allah SWT tentukan sesuatu tetapi tidak kena dengan kehendak kita, fikirkan hikmah di sebaliknya,“ katanya dalam program Tadabbur al-Quran 30 Hari 30 Ayat bersama Dato’ Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari.

Terdahulu, menerusi episod Ramadan ke-14, Amirudin dengan bimbingan Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi membacakan ayat berkenaan.

“Kegagalan ini bukan sebab Allah SWT tak bersama kita. Sebab itu Surah al-Mulk kena baca dari awal lagi. Allah SWT sudah susun alam dengan teratur, maka kita pun buat kerja teratur, tersusun.

“Buat yang terbaik, serahkan kepada Allah SWT. Kalau tak berjaya pun, kita dah reda ketentuan-Nya,” katanya.

Tangkap layar rakaman video progam tadabbur al-Quran 30 hari 30 ayat sempena Ramadan bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari

Menutup kupasan berkenaan, Amirudin berkata ayat terbabit merupakan peringatan yang mendalam untuk manusia sentiasa reda, muhasabah, merenung kembali dan membetulkan diri selepas berdepan ujian.

“Ini peringatan yang sangat mendalam bagaimana pentingnya untuk kita teruskan hidup. Ini penting daripada kita menyalahkan Tuhan dan orang lain,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.