SHAH ALAM, 3 FEB: Pemeriksaan di bazar Ramadan dilaksanakan berkonsepkan keselamatan dan kebersihan makanan bagi memastikan juadah dijual selamat dimakan serta pengendali mematuhi piawaian ditetapkan.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perunding Kesihatan Persekitaran, Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Hasnainin Hassan berkata pemeriksaan memberi tumpuan kepada dua perkara utama iaitu kebersihan makanan dan pematuhan pengendali makanan.
“Konsepnya kita nak pastikan makanan yang dijual bersih dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada pengguna. Kedua, kita pastikan pengendali mengendalikan makanan dalam keadaan bersih dan mematuhi syarat ditetapkan,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Terdahulu beliau mengunjungi Bazar Ramadan Jalan Camar Seksyen 4 Kota Damansara.
Menurut beliau, pemeriksaan melibatkan tiga jabatan iaitu Pelesenan, Kesihatan dan Penguatkuasaan yang menilai aspek penting termasuk suntikan tifoid, pemilikan lesen dan permit sah serta pemakaian apron, penutup kepala dan peralatan perlindungan diri.
Katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku kesalahan dengan pengeluaran notis amaran atau kompaun serta-merta bergantung kepada tahap kesalahan.
Sementara itu peniaga bazar menyatakan komitmen untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.
Mohd Nur Firdaus, 28, berkata beliau sentiasa memastikan lesen lengkap sebelum berniaga selain mematuhi syarat permit dan keselamatan.
“Kami bersihkan kawasan gerai setiap kali selepas melayan pelanggan, sediakan tong sampah sendiri dan pastikan makanan ditutup dengan baik. Jika ada teguran, kami terus ambil tindakan,” katanya sambil menambah pemeriksaan proaktif ini membantu meningkatkan keyakinan pelanggan.
Pemeriksaan berterusan itu dilaksanakan bagi memastikan peniaga bazar sentiasa mematuhi garis panduan ditetapkan demi keselamatan dan kesejahteraan pengguna sepanjang Ramadan.











