Lebih RM467,000 denda buang sampah dikutip, hukuman 3,638 jam khidmat masyarakat dikenakan

27 Okt 2026, 12:00 AM
Lebih RM467,000 denda buang sampah dikutip, hukuman 3,638 jam khidmat masyarakat dikenakan

SHAH ALAM, 27 OKT: Sejumlah RM467,140 kutipan denda dan 3,638 jam hukuman khidmat masyarakat direkodkan bagi kesalahan membuang sampah kecil.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), sebanyak 8,960 operasi penguatkuasaan dilaksanakan di tujuh negeri sepanjang Januari hingga September tahun ini, lapor Berita Harian.

Katanya, hasil operasi berkenaan sebanyak 17,145 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan.

"Pendekatan ini menggabungkan ketegasan undang-undang dengan pendidikan sivik bagi meningkatkan tanggungjawab masyarakat terhadap kebersihan awam.

"Kebersihan mencerminkan ketamadunan. Inilah komitmen KPKT untuk memastikan negara kekal bersih, mampan dan bermaruah.

"Perintah Khidmat Masyarakat bertujuan mendidik pesalah supaya memahami bahawa menjaga kebersihan awam ialah tanggungjawab bersama," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata KPKT akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan 2027 bagi memastikan negara kekal bersih dan memberikan imej yang baik kepada pelancong yang berkunjung ke Malaysia.

Menyentuh usaha menangani isu pencerobohan perniagaan tempatan oleh warga asing, Kor Ming berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan.

“KPKT mengambil tindakan tegas bagi melindungi hak peniaga tempatan serta memastikan pematuhan terhadap syarat pelesenan.

"Dalam tempoh tiga tahun, sebanyak 10,248 operasi bersepadu dilaksanakan dan membatalkan 28,401 lesen perniagaan," katanya.

Tambahnya, kementerian bersama Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut mengambil tindakan tegas bagi mengekang warga asing berniaga secara haram di premis perniagaan seluruh negara.

Katanya, hasil operasi berkenaan, sebanyak 100,366 tindakan penguatkuasaan diambil, termasuk 65,023 kompaun, 28,401 pembatalan lesen perniagaan serta 6,942 tindakan sitaan dan perobohan premis.

"Saya ingin menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan teragak-agak membatalkan lesen perniagaan pemegang lesen tempatan yang melanggar syarat pelesenan seperti amalan 'Ali Baba' atau penyewaan premis kepada warga asing untuk menjalankan perniagaan secara haram,” katanya.

Kor Ming berkata bagi memperkasa usahawan tempatan, kementerian melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) melaksanakan 107 projek pembinaan Gerai MADANI dan menaik taraf pasar awam uzur dengan peruntukan RM60 juta pada tahun ini.

"Usaha ini akan terus dipergiatkan pada 2027 dengan peruntukan RM120 juta. Langkah ini bertujuan menyediakan kemudahan perniagaan dan pasar awam yang lebih selamat, bersih dan selesa demi manfaat peniaga serta pengunjung," tambah beliau.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.