SHAH ALAM, 3 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyita dua basikal roda tiga milik warga asing di Taman Puchong Permai susulan aduan awam mengenai timbunan sampah pukal di kawasan berkenaan.
Siasatan mendapati lokasi di Blok A dan Blok F dijadikan kawasan transit bagi tujuan pengasingan barangan kitar semula.
Menurut MBSJ, aktiviti tersebut dipercayai berpunca daripada pengumpulan barangan terpakai menggunakan kenderaan terbabit dan tidak melibatkan penduduk setempat.
"Sehubungan itu, kedua-dua basikal roda tiga terbabit disita sebagai langkah penguatkuasaan.
"Amaran lisan turut diberikan kepada individu terlibat agar tidak lagi menjalankan aktiviti perniagaan serta pengumpulan barangan di kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan.
MBSJ menegaskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara berkala akan terus dilaksanakan bagi memastikan kebersihan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.




