Tujuh individu dikompaun kes buang sampah di Puchong

3 Mac 2026, 4:39 AM
Tujuh individu dikompaun kes buang sampah di Puchong

SHAH ALAM, 3 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan tujuh kompaun terhadap individu yang didapati membuang sampah dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Puchong.

Operasi tersebut dijalankan di Pusat Bandar Puchong dan Bandar Puchong Jaya bagi memastikan tahap kebersihan bandar sentiasa terpelihara serta meningkatkan pematuhan orang awam terhadap peraturan sedia ada.

Hasil pemantauan mendapati beberapa kesalahan dilakukan termasuk pembuangan puntung rokok dilakukan di lokasi terlibat sebelum tindakan Notis Tawaran Kompaun (NTK) dikenakan oleh anggota penguat kuasa MBSJ.

Kesalahan membuang sampah merata-rata merupakan pelanggaran di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MBSJ) dan boleh dikenakan tindakan kompaun.

Perbuatan sama turut tertakluk di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang memperuntukkan denda jika disabitkan kesalahan.

Menurut MBSJ, tindakan tegas akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa sebagai peringatan kepada masyarakat bahawa kebersihan bandar adalah tanggungjawab bersama.

"Orang ramai dinasihatkan agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan persekitaran dan tidak membuang sampah atau puntung rokok sesuka hati," katanya.

Apa reaksi anda?