MB: Agenda reformasi hadkan tempoh PM 10 tahun perlu sokongan menyeluruh

3 Mac 2026, 2:24 AM
MB: Agenda reformasi hadkan tempoh PM 10 tahun perlu sokongan menyeluruh

SHAH ALAM, 3 MAC: Agenda reformasi termasuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun tidak boleh digalas bersendirian, sebaliknya memerlukan tanggungjawab kolektif semua pihak.

Dato’ Menteri Besar berkata usul dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam, mencerminkan komitmen perdana menteri terhadap reformasi yang diterjemah kepada usaha sebenar.

Meskipun tidak meraih sokongan dua pertiga wakil rakyat, langkah berani itu menurut Dato' Seri Amirudin Shari, tidak pernah dilakukan mana-mana perdana menteri atau presiden parti.

"Semalam kita mungkin kehilangan peluang emas untuk merealisasikan mandat rakyat dengan hanya dua undi, tetapi keputusan ini turut menggambarkan tiada ahli parlimen yang menolak cadangan untuk tempoh perdana menteri dihadkan kepada 10 tahun," katanya dalam kenyataan pagi ini.

Dewan Rakyat

Semalam, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun gagal memperoleh sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Keputusan itu diumumkan Speaker Tan Sri Johari Abdul selepas undian dijalankan sejurus tamat sesi perbahasan yang melibatkan 41 ahli parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Amirudin yang juga naib presiden KEADILAN turut berterima kasih kepada kesemua 31 wakil rakyat parti itu yang merupakan sebahagian daripada 146 ahli parlimen menyokong pindaan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, ketidakhadiran 32 wakil rakyat selain 44 ahli parlimen pembangkang yang memilih untuk tidak mengundi, menyebabkan pindaan tersebut tidak boleh dilaksanakan.

"Ini menunjukkan bahawa proses dan tanggungjawab islah yang merupakan jiwa parti KEADILAN tidak boleh dijayakan secara solo tetapi adalah tanggungjawab kolektif pelbagai pihak," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan tindakan Perikatan Nasional untuk tidak mengundi menggambarkan gabungan itu belum berani meletakkan kepentingan nasional melebihi politik.

Pada masa sama, jelas Amirudin, ia menjadi peringatan kepada semua pihak dalam kerajaan bahawa setiap ahli parlimen tidak boleh leka terhadap tanggungjawab hakiki.

"Kita tidak seharusnya membenarkan satu insiden untuk melunturkan semangat kepada agenda reformasi demi kebaikan rakyat dan negara yang kita cintai ini," tegasnya.

RUU berkenaan bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan seseorang perdana menteri kepada 10 tahun, sama ada secara berturut-turut atau tidak.

Pindaan tersebut memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada keseluruhan ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan.

Apa reaksi anda?