SHAH ALAM, 27 FEB: Umat Islam yang menafikan kebenaran dan menolaknya sekali gus tidak patuh dengan ajaran Allah SWT hanya membawa diri ke neraka.
Mengupas ayat kesembilan Surah al-Mulk, Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Dr Badli Shah Alauddin berkata nasihat atau kebenaran yang disampaikan itu seharusnya diterima tanpa perlu dipersoalkan.
“Ayat ini menceritakan pengakuan orang dalam neraka bahawa ada yang membawa kebenaran tetapi mereka menolaknya, mempermainkan serta mempersoalkannya. Perkara ini berlaku ketika Nabi Muhammad SAW berdakwah.
“Sebab itu, pengajaran kita pada hari ini jika ada yang beri nasihat terimalah. Kita selalu cakap yang baik dari Allah SWT, yang buruk daripada diri sendiri, maka kalau orang itu datang bawa kebaikan, itu dari Allah SWT.
“Orang yang tidak boleh terima kebenaran ini hanya mahukan kemenangan dan sorakan sahaja. Ini yang berlaku pada sebahagian besar ahli neraka kerana tidak terima nasihat dan kebenaran,” katanya menerusi program 30 Hari 30 Ayat al-Quran bersama Dato’ Menteri Besar sempena Ramadan.
Dr Badli Shah turut mengingatkan, jangan memandang siapa yang beri nasihat tetapi lihat pada mesej yang disampaikan kerana kebenaran itu daripada Allah SWT.

Terdahulu, ayat kesembilan Surah al-Mulk dibacakan Dato’ Seri Amirudin Shari dengan bimbingan Pensyarah Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Fakhrurrazi Mohammed Zabidi.
Sementara itu, sebagai penutup kupasan, Amirudin memberi peringatan supaya umat Islam terus menggilap hati dan sentiasa ingat Allah SWT dengan berzikir, berselawat serta membaca al-Quran.
“Ayat ini beri peringatan penting supaya hati terbuka, lunak dan tidak keras. Kena latih dan gilap hati supaya sentiasa ingat Allah SWT.
“Dengan cara ini, kita menjadi orang yang patuh dengan Allah SWT, bukan menyesal di kemudian hari,” katanya.





