Krisis Iran-AS: Malaysia berdepan risiko ekonomi, harga minyak diramal melonjak

1 Mac 2026, 10:00 AM
Krisis Iran-AS: Malaysia berdepan risiko ekonomi, harga minyak diramal melonjak
Krisis Iran-AS: Malaysia berdepan risiko ekonomi, harga minyak diramal melonjak
Krisis Iran-AS: Malaysia berdepan risiko ekonomi, harga minyak diramal melonjak

SHAH ALAM, 1 MAC: Malaysia dijangka berdepan kesan ekonomi susulan krisis ketegangan yang berlaku antara Iran, Amerika Syarikat (AS) serta rakan sekutunya Israel, kata penganalisis ekonomi.

Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata antara yang diramal berlaku adalah peningkatan harga minyak mentah sehingga 200 dolar AS setong berbanding harga semasa iaitu 30 dolar AS ketika ini.

Bagi kesan permulaan, Dr Barjoyai berkata, konflik tersebut akan menjejaskan urusan perdagangan global berikutan penutupan Selat Hormuz, yang merupakan laluan eksport paling penting dunia.

“Perdagangan memerlukan kemudahan logistik untuk melalui Timur Tengah. Selat Hormuz akan paling terjejas, ia membawa lebih 25 peratus perdagangan dunia khususnya minyak.

“Dalam masa sama, penerbangan juga terpaksa ditangguh. Ini menyebabkan kargo dan penumpang terkandas. Sehingga ada yang bertanya sama ada tahun ini ada musim haji atau pun tidak,” katanya kepada Media Selangor.

Pakar Ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai ketika ditemubual di Malaysia University of Science and Technology (MUST), Petaling Jaya pada 10 Julai 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Dr Barjoyai menambah, jika krisis terus berlarutan, Malaysia bakal merasai kesan kenaikan harga barangan keperluan apabila harga minyak mentah meningkat dan harga barangan import melambung tinggi.

Menurutnya, Malaysia juga akan melihat perubahan dalam tingkah laku peniaga dalam urusan perdagangan berikutan lebih ramai pemain industri akan mula memilih untuk melabur dalam negara sahaja.

Pensyarah kanan di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) itu berkata, harga emas juga diramal meningkat dengan kedudukannya dijangka menggantikan mata wang sekali gus mempengaruhi perdagangan antarabangsa.

“Semalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah umumkan akan merombak struktur pelaburan kerana hari ini pun mereka sudah merasai kesan wang AS dolar yang merosot yang menyebabkan nilai pelaburan mereka merosot,” katanya.

Terdahulu, AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran, selepas AS meningkatkan kehadiran ketenteraannya di rantau Timur Tengah bagi memberi tekanan kepada Tehran supaya mengurangkan program nuklearnya.

Iran kemudiannya bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas empat pangkalan ketenteraan AS di Qatar, Bahrain, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dubai, Iraq, Jordan, dan Israel.