Malaysia sokong gencatan senjata AS-Iran, gesa hormati perjanjian

8 Apr 2026, 4:08 AM
Malaysia sokong gencatan senjata AS-Iran, gesa hormati perjanjian

PUTRAJAYA, 8 APRIL: Malaysia menyambut baik perjanjian gencatan senjata selama dua minggu yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Kementerian Luar memaklumkan perkembangan penting itu menjadi langkah utama ke arah mengurangkan ketegangan dan memulihkan keamanan serta kestabilan yang amat diperlukan di rantau Asia Barat.

“Malaysia menggesa semua pihak untuk menghormati sepenuhnya dan melaksanakan semua syarat gencatan senjata dengan suci hati demi mengelakkan sebarang permusuhan kembali,” menurut kenyataan itu.

Semua pihak turut digesa mengelak sebarang tindakan provokatif atau langkah unilateral yang boleh memberi kesan negatif kepada kestabilan rapuh rantau itu atau menjejaskan keselamatan ekonomi dan tenaga global.

“Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha diplomatik dan pengantaraan yang membawa kepada perjanjian ini.

“Kejayaan ini menunjukkan bahawa diplomasi kekal sebagai satu-satunya jalan berdaya maju untuk menyelesaikan konflik yang berlarutan dan memastikan keselamatan serantau dalam jangka masa panjang,” menurut kementerian itu.

Semua pihak harus menggunakan peluang ini untuk meneruskan dialog mereka ke arah penyelesaian yang kukuh, komprehensif dan aman terhadap perbezaan mereka.

“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa supaya menyokong usaha damai ini dan menyumbang ke arah resolusi yang adil serta berkekalan yang memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat di rantau tersebut,” menurut kenyataan itu.

Presiden AS Donald Trump pada Selasa mengumumkan penggantungan dua minggu operasi ketenteraan terhadap Iran susulan pengantaraan oleh Pakistan.

Menteri Luar Iran Abbas Araghchi pula berkata Majlis Keselamatan Negara Tertinggi mengisytiharkan bahawa Tehran akan menghentikan operasi pertahanan jika serangan ke atas negara itu ditamatkan.

Menurut laporan, rundingan antara pihak terbabit dijangka berlangsung di Islamabad pada Jumaat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.